Lapangan Terbang Kota Bharu beroperasi penuh mulai esok
PUTRAJAYA – Kerja-kerja pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (KBR), Kota Bharu kini telah siap sepenuhnya dan terminal yang dinaik taraf akan mula beroperasi sepenuhnya mulai esok.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembesaran terminal baharu meningkatkan kapasiti lapangan terbang daripada 1.5 juta kepada 4 juta penumpang setahun.
“Tahun lalu, jumlah pergerakan penumpang mencecah 1.7 juta, meningkat 16.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Kapasiti tambahan ini dijangka mampu menampung pertumbuhan trafik penumpang yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kemudahan yang ditambah baik merangkumi bangunan terminal lebih luas, pengasingan aras pelepasan dan ketibaan, serta susun atur baharu di kawasan kerbside dengan lorong khusus untuk bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing.
Penambahbaikan itu diharap meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang serta menyokong kelancaran operasi lapangan terbang, terutama menjelang musim perayaan.
Tambahnya, projek pembesaran ini turut memperkukuh hubungan udara ke Kelantan selain menyokong perkembangan sektor pelancongan, perniagaan dan ekonomi negeri.
“Lima syarikat penerbangan kini beroperasi di KBR dengan enam laluan domestik dan satu laluan antarabangsa ke Singapura,” katanya lagi.
Majlis pelancaran rasmi bagi terminal yang diperluaskan ini akan diumumkan kemudian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








