Orang ramai dibenar akses laporan awal kemalangan FRU mulai esok – Loke
KUALA LUMPUR – Orang ramai boleh mendapatkan laporan awal berhubung kemalangan yang mengorbankan lapan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak bulan lalu, mulai esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata laporan awal tersebut boleh diakses menerusi laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Laporan awal berkenaan sudah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pagi tadi, esok kita akan membuat laporan itu secara terbuka. Kita akan muat naikkannya (laporan) dalam laman sesawang MOT.
“Laporan terbabit adalah peringkat awal, belum ada laporan penuh. Dari segi laporan itu, kita ada laporan teknikal daripada beberapa agensi termasuk PUSPAKOM dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Baca juga : Lapan anggota FRU maut kemalangan dengan lori batu
Dalam kejadian bulan lalu itu, lori dipandu lelaki berusia 45 tahun bertembung dan merempuh trak membawa 18 anggota FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami.
Akibat kemalangan itu, sembilan anggota FRU yang menaiki trak berkenaan maut, manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan.
Menurut Loke, laporan itu dikeluarkan bertujuan sebagai rujukan umum untuk memberikan peluang kepada orang ramai mengetahui fakta berkenaan kes itu.
Loke menambah, orang ramai juga berpeluang untuk melihat isu keselamatan jalan raya dan kenderaan untuk sama-sama menyumbang ke arah peningkatan kesedaran akan keselamatan jalan raya.
“Selain memberi ruang kepada penyelidik khususnya pakar keselamatan jalan raya dalam bidang mekanikal untuk melihat segala fakta daripada kemalangan supaya mereka boleh membuat kajian dan penyelidikan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






