Perkhidmatan pengangkutan awam beroperasi seperti biasa esok – Anthony Loke
PUTRAJAYA – Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk stesen-stesen kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Prasarana akan terus beroperasi seperti biasa esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan kelancaran pergerakan rakyat termasuk sempena hujung minggu.
“Kerajaan Madani menghormati hak untuk berhimpun termasuk mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan. Namun, lebih penting, perkhidmatan pengangkutan awam perlu kekal beroperasi agar majoriti rakyat dapat menjalankan urusan harian mereka tanpa gangguan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan penganjuran Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka yang dijangka dihadiri oleh 15,000 peserta, esok.
Menurut Anthony, kerajaan tidak akan kembali kepada amalan menyekat ruang demokrasi termasuk menutup Parlimen atau menyekat hak berhimpun secara aman.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan orang ramai yang hadir ke ibu negara termasuk peserta perhimpunan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Bagi pengguna tetap, Pas MY50 kini boleh diperbaharui secara dalam talian menerusi aplikasi Touch ‘n Go. Pas itu bernilai RM150, namun pengguna hanya perlu membayar RM50 kerana kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM100,” katanya.
Tambah beliau, bagi mereka yang pertama kali menggunakan pengangkutan awam di ibu kota, MyCity Pass berharga RM6 membolehkan penggunaan tanpa had bagi perkhidmatan LRT, MRT, BRT, Monorel dan Rapid Bas untuk tempoh satu hari.
“Pas itu juga akan didigitalkan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







