
Hasil kutipan JPJ pada tahun lalu tertinggi dalam sejarah
PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah jabatan berkenaan, iaitu hampir mencecah RM5.07 bilion pada tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah kutipan itu meningkat 3.53 peratus berbanding RM4.9 bilion pada tahun 2022.
Jelasnya, dalam kategori bayaran tender nombor perdaftaran pula, kutipan hasil meningkat daripada RM501.5 juta pada 2022 kepada RM569.6 juta pada 2023.
“Peningkatan hasil ini termasuk siri bidaan nombor pendaftaran FF, M_M yang dilancarkan pada Mei 2023 dan Ogos 2023.
“Untuk siri GOLD, JPJ merekodkan lebih RM17.24 juta hasil kutipan termasuk GOLD 1 yang berjaya dibida oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan harga RM1.5 juta,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sejurus hadir pada Majlis Himpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.
Mengenai sektor udara, Anthony Loke berkata, terdapat peningkatan penumpang antarabangsa dan domestik sebanyak 10.7 peratus pada Januari 2024 berbanding Januari tahun lalu.
Malaysia juga mempunyai 147 penerbangan yang menghubungkan seluruh dunia berbanding 121 destinasi pada 2022.
Beliau berkata, ketibaan pelancong di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut mencatatkan peningkatan 32 peratus pada Januari 2024, mencerminkan kejayaan pengecualian visa 30 hari kepada pelancong China dan India berkuat kuasa 1 Disember 2023 lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







