Kolam Renang Z&S Sweet jadi tarikan Kampung Repek
KAMPUNG Repek yang terletak di Pasir Mas, Kelantan bukan lagi ‘biasa-biasa’ apabila sebuah kolam bersaiz besar mula dibuka sebagai lokasi riadah buat penduduk setempat.
Bukan kolam ikan ya, tapi kolam renang eksklusif seumpama yang terdapat di resort-resort.
Jika dahulu orang kampung melepak di kedai kopi atau di bawah pokok getah, sekarang mereka memilih untuk lepak tepi kolam sambil anak-anak melompat masuk air.

Hah, siapa kata kampung atau desa tak boleh ada vibe resort?
Itu yang boleh digambarkan mengenai Kolam Renang Z&S Sweet yang diusahakan pasangan suami isteri, Zulkifli Zakaria, 49, dan Suhana Daud, 48, ini.
Sebagai bekas Jurulatih Jasmani dari Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpengalaman selama lebih 22 tahun, mereka bersemangat membina kolam tersebut bagi menawarkan kelainan buat penduduk di sana.
Menurut Suhana yang berasal dari Felda Pasoh Satu, Simpang Pertang, Negeri Sembilan, ilham membina kolam renang tercetus selepas menyedari ketiadaan tempat riadah yang selamat di kawasan kampung tersebut.

“Anak-anak di sini terdedah kepada bahaya kerana tiada kolam renang awam. Mereka sering mandi di sungai, tali air dan parit.
“Itu sangat membimbangkan. Kami tahu berenang dan pernah melatih ratusan anggota tentera, jadi kami mahu manfaatkan kemahiran itu untuk bantu masyarakat,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Dengan matlamat utama untuk memberi keselesaan dan kepuasan kepada pengunjung, Z&S Sweet bukan sekadar kolam renang, bahkan ia menjadi tempat komuniti berkumpul, mengeratkan silaturrahim dan belajar kemahiran penting iaitu berenang.

Pasangan itu turut menganjurkan kelas renang untuk wanita dewasa dan kanak-kanak bagi membuka peluang kepada mereka beriadah dengan selamat dan terlatih.
Cabaran membina impian
Bagaimanapun, Zulkifli berkata, usaha membina kolam tersebut bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya banyak cabaran yang terpaksa ditempuh.
“Ia mengambil masa lebih dua tahun untuk direalisasikan dengan kos pembinaan mencecah RM250,000 menggunakan wang persaraan kami.

“Projek ini pernah tertangguh beberapa kali akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah tukang kolam yang dilantik terpaksa pulang ke Sabah dan tidak dapat kembali menyambung kerja.
“Disebabkan kekurangan tenaga kerja, banyak kerja terpaksa kami buat sendiri.
“Tapi kami tidak berputus asa. Kami yakin kolam ini akan beri manfaat besar kepada penduduk,” kongsi Zulkifli, anak kelahiran Kampung Repek yang pernah bertugas sebagai Jurulatih Skuasy bagi atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Meskipun diuji dengan pelbagai kekangan, mereka tidak pernah lari dari tanggungjawab.

Berbekalkan pengalaman mengurus kemudahan latihan fizikal di institusi ketenteraan, penyelenggaraan kolam dilakukan sendiri oleh mereka berdua.
Malah, kolam akan dibersihkan setiap dua hingga tiga hari, bergantung kepada tahap kebersihan dan cuaca.
Sambutan luar jangkaan
Sejak dibuka pada bulan Julai 2022, Kolam Renang Z&S Sweet menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung dan kawasan sekitarnya.
Kunjungan yang tidak putus-putus terutama pada hujung minggu membuktikan keperluan kemudahan seperti itu di kawasan luar bandar.

“Alhamdulillah, sambutan sangat baik. Kami rasa bersyukur melihat kegembiraan orang kampung.
“Ramai mak ayah datang bersama anak-anak. Dulu mereka perlu pergi ke bandar besar seperti Kota Bharu untuk bawa anak mandi kolam. Kini semuanya ada di depan mata,” kata Suhana pula.
Kebahagiaan mereka bukan hanya pada kejayaan menghidupkan kolam, tetapi juga apabila melihat perubahan dalam gaya hidup komuniti.
Kanak-kanak yang dahulunya hanya berani bermain air di parit dan tali air, kini sudah mampu berenang dan mempunyai asas keselamatan air yang baik.

“Melalui kelas-kelas renang ini, kami harap dapat elakkan tragedi lemas. Bila anak-anak tahu teknik berenang dan selamat di air, itu satu pelaburan jangka panjang untuk keselamatan mereka,” jelas Zulkifli.
Impian yang lebih besar
Walaupun pusat riadah ini kini telah mencipta impaknya yang tersendiri, Suhana dan Zulkifli tidak mahu berhenti setakat itu sahaja.
Mereka berhasrat untuk terus memperkembangkan usaha, termasuk memperluaskan kelas renang, menganjurkan pertandingan sukan air dan menjadikan Kolam Renang Z&S Sweet sebagai pusat latihan renang komuniti yang diiktiraf.

“Setakat ini, banyak agensi kerajaan dan swasta telah bekerjasama dengan kami mengadakan aktiviti riadah dan kelas renang.
“Antaranya program Sewa Khas PALAPES Laut Universiti Malaysia Kelantan, kelas renang kemahiran latihan asas B40 anjuran Kementerian Belia dan Sukan serta Jabatan Belia dan Sukan Negara, program anjuran Pejabat Kesihatan Pasir Mas, kelas bimbingan Tabika Kemas dari Jeli, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan banyak lagi,” jelas Suhana.
Apa yang pasti, mereka juga berharap agar kolam itu akan menarik lebih ramai pengunjung dari luar negeri, sekali gus membantu mempromosikan Kampung Repek sebagai destinasi riadah yang mesra keluarga dan berdaya saing.

“Kami mahu bawa nama Kampung Repek ke peta pelancongan domestik. Biar orang luar tahu kampung kami juga ada tempat riadah berkualiti,” tambah Suhana penuh semangat.
Kolam Renang Z&S Sweet adalah bukti bahawa dengan tekad, kepakaran dan sedikit keberanian, impian untuk membina sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat bukanlah sesuatu yang mustahil.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 017-6992887 atau 011-58650877.
INFO KOLAM RENANG Z&S SWEET:
– Dibuka setiap hari termasuk cuti umum
– Terdapat dua saiz kolam renang
i) Kolam besar bersaiz 30 x 50 kaki
ii) Kolam kanak-kanak bersaiz 25 x 15 kaki
– Tempat wakaf turut disediakan untuk mengadakan aktiviti BBQ dan sebagainya
– Terdapat ruang berbumbung dan gerai jualan makanan dan minuman
– Bayaran serendah RM3 hingga RM10 seorang
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








