HULU SELANGOR – Tiga sekeluarga melalui saat mencemaskan apabila tanah runtuh menghempap bahagian dapur rumah mereka di Kampung Orang Asli Bukit Manchung, Bukit Beruntung, semalam.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Selangor yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.30 petang mengesahkan berlaku runtuhan tanah di bahagian belakang kediaman tersebut.
Menurut kenyataan APM, dua anggotanya bersama tiga pegawai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan.
“Sebaik tiba, pemantauan dilakukan dan didapati pergerakan tanah masih aktif selain hujan berterusan. Terdapat juga aliran air di kawasan runtuhan,” menurut kenyataan itu.
Anggota APM memeriksa keadaan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Bukit Manchung, Bukit Beruntung, Selangor.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemantauan berkala akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk.
APM memaklumkan, pusat pemindahan sementara (PPS) tidak diperlukan kerana keluarga terlibat sudah berpindah ke rumah saudara berhampiran.
Sementara itu, kejadian tanah runtuh berasingan turut dilaporkan di Jalan Sungai Buaya, kira-kira 300 meter selepas persimpangan jambatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menuju ke Tol Sungai Buaya.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor memaklumkan, satu lorong ditutup di lokasi berkenaan, manakala kenderaan berat diarahkan menggunakan laluan alternatif melalui Tol Bukit Beruntung.
SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK