Bangunan tiga tingkat dihanyutkan banjir kilat di Fujian
FUZHOU – Sebuah bangunan tiga tingkat dihanyutkan arus deras selepas banjir kilat melanda Xianyou County, Fujian, China, susulan hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Saudel, semalam.
Rakaman video kejadian menunjukkan bangunan berkenaan gagal menahan deras arus sebelum dihanyutkan bersama aliran air banjir.
Kejadian berlaku ketika beberapa kawasan di Fujian dilanda hujan lebat secara berterusan sehingga mencetuskan banjir kilat yang berarus deras.
Taufan Saudel melanda China sebanyak tiga kali selepas dua kali membadai wilayah Zhejiang sebelum ini.
Susulan itu, sekolah-sekolah di Fuzhou dan Quanzhou diarahkan tutup sementara, manakala beberapa lokasi pelancongan termasuk taman tema turut dihentikan operasinya sebagai langkah keselamatan.
“Sebanyak 24 laluan feri penumpang di sepanjang pantai Fujian juga digantung berikutan keadaan cuaca buruk.
“Di Fuding, rakaman yang tular menunjukkan air banjir berwarna coklat menenggelamkan kenderaan selain membawa serpihan melalui jalan raya di kawasan rendah,” lapor China News.
Pihak berkuasa pengurusan kecemasan Fujian memberi amaran hujan lebat berterusan boleh menyebabkan bencana susulan termasuk banjir kilat dan tanah runtuh.
Dianggarkan sekitar 247,700 penduduk di kawasan berisiko tinggi di Fujian telah dipindahkan sebelum ini sebagai persediaan menghadapi hujan lebat dan ancaman taufan.
Taufan Saudel dijangka bergerak ke arah barat menuju Guangdong, dengan hujan lebat diramalkan terus melanda Fujian dan Guangdong sehingga hari ini.
Perkembangan itu menambah kebimbangan terhadap risiko banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan rendah.
Pakar sebelum ini memberi amaran perubahan iklim akibat peningkatan pelepasan bahan api fosil yang menyumbang kepada cuaca ekstrem seperti hujan lebat, banjir dan ribut berlaku secara lebih kerap dan lebih hebat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








