Junior Innovathon 2026 terima lebih 6,000 penyertaan
KUALA LUMPUR – Junior Innovathon 2026 menerima sambutan memberangsangkan apabila merekodkan 6,060 penyertaan pelajar, lebih dua kali ganda berbanding sasaran awal sebanyak 3,000 penyertaan.
Timbalan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pertandingan itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali membuka penyertaan kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) menerusi kategori khas yang diperkenalkan tahun ini.
Menurutnya, langkah tersebut menjadikan program berkenaan lebih inklusif dalam usaha mencungkil bakat inovasi dalam kalangan pelajar pelbagai latar belakang.
“Tahun ini Junior Innovathon lebih inklusif apabila kita membuka satu kategori baharu untuk murid berkeperluan pendidikan khas. Malah kategori tersebut turut disediakan hadiah menerusi pertandingan Tunas Kencana.
“Pada masa sama, penyertaannya juga semakin kompetitif apabila kita menerima 6,060 penyertaan berbanding sasaran asal sebanyak 3,000 penyertaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Junior Innovathon 2026 di Kota Media Angkasapuri hari ini.
Akmal berkata, peningkatan jumlah penyertaan menyebabkan proses pemilihan dan penilaian menjadi lebih mencabar apabila peserta perlu melalui beberapa peringkat saringan.
“Selain menyediakan slaid pembentangan, peserta turut dikehendaki menghasilkan video berdurasi dua minit bagi menerangkan idea inovasi yang diketengahkan.
“Bukan mudah untuk peserta menyampaikan idea dalam tempoh dua minit dan pada masa sama meyakinkan juri profesional.
“Mereka bukan sahaja perlu menjelaskan masalah yang dikenal pasti, malah perlu menunjukkan penyelesaian yang dicadangkan dengan jelas dan berkesan,” katanya lagi.
Beliau berkata, berdasarkan penyertaan yang diteliti, ramai peserta berjaya mengetengahkan idea yang kreatif dan berpotensi meskipun berdepan cabaran untuk meringkaskan penerangan dalam format video pendek.
Dalam pada itu, Akmal berkata, kejayaan penganjuran Junior Innovathon 2026 turut didorong oleh sokongan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, rakan strategik dan penaja yang membantu memperkukuh ekosistem inovasi negara.
“Kerjasama pelbagai pihak membolehkan ruang lingkup program ini diperluaskan dan bakat-bakat muda yang dicungkil dapat dinilai secara lebih menyeluruh,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








