BERITA SEMASA

PETRA perkenal MELP, tingkat kesedaran rakyat terhadap peralihan tenaga

PUTRAJAYA – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Malaysia Energy Literacy Program (MELP) komited mendidik rakyat agar lebih memahami isu tenaga dan cabaran dalam peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, MELP berfungsi sebagai platform literasi tenaga kebangsaan yang memberi fokus kepada pendidikan masyarakat berkaitan kepentingan transisi tenaga demi mencapai sasaran sifar karbon menjelang 2050.

“Kita bukan hanya mahu menggubal dasar atau memperkenalkan polisi, tetapi lebih penting ialah memastikan rakyat bersedia untuk menerima perubahan tersebut.

“Pelbagai usaha dilakukan termasuk menggunakan media sosial dan laman sesawang bagi memudahkan orang ramai merujuk maklumat berkenaan isu peralihan tenaga serta program-program MELP yang lain,” katanya ketika berucap pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Sabtu.

Menurut Akmal, Malaysia kini berada di fasa penting dalam usaha peralihan tenaga dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat bagi memastikan kejayaan agenda tenaga boleh baharu negara.

“Cabaran utama adalah meyakinkan rakyat bahawa penggunaan tenaga boleh baharu akan memberi kelebihan kepada negara dalam jangka panjang walaupun perubahan ini bukanlah mudah serta memerlukan kesediaan menyeluruh daripada rakyat,” jelasnya lagi.

Dalam pertandingan akhir tersebut, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang dinobatkan sebagai juara kategori Bahasa Melayu, manakala Sekolah Sultan Alam Shah menjuarai kategori Bahasa Inggeris.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button