BERITA SEMASA

KPM teliti resolusi kerajaan negeri Melaka berkenaan disiplin, sahsiah pelajar

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti semua resolusi disyorkan kerajaan negeri Melaka dalam menangani isu berkaitan disiplin dan sahsiah pelajar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penelitian itu bagi memastikan sama ada syor berkenaan bersesuaian dengan keseluruhan dasar pendidikan negara.

Tambah Fadhlina, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Melaka di atas usaha berkenaan dalam memberi pandangan untuk menambahbaik aspek pendidikan.

“Seperti baru-baru ini, kita (KPM) lancarkan inisiatif yang kita panggil PAKAT (Program Akses Komprehensif Tadika) untuk prasekolah bersama dengan ibu bapa dan komuniti PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), sekolah untuk sama-sama kita tangani (perkara berkaitan pendidikan dan sahsiah).

“Ini kerana kita mahu memberikan ruang untuk ibu bapa terbabit penuh dalam sekolah kita khususnya di peringkat prasekolah, jadi PAKAT ini antara agenda penting untuk sama-sama memberikan sumbangan kepada sekolah (untuk melakukan yang terbaik demi pendidikan anak-anak).

“Jadi, untuk resolusi Kerajaan Melaka, kita akan teliti semua resolusi itu dan kita akan pertimbangkan serta melihat sama ada ia ada kesan ataupun tidak kepada keseluruhan dasar yang sedang kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, di sini hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Melaka mengemukakan 10 resolusi utama berkaitan disiplin, sahsiah dan kesejahteraan pelajar, termasuk pelaksanaan hukuman rotan secara berhemah dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga, sebagai langkah mendidik dan membentuk disiplin mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan sebagai berkata, cadangan itu antara dapatan penting hasil rumusan Konvensyen Khas Kerajaan Negeri bersama PIBG, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan negeri itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button