Jerebu: Sekolah di tiga daerah Perak ditutup serta-merta
IPOH – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di tiga daerah di Perak ditutup serta-merta susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara di negeri itu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, penutupan itu membabitkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar.
“Keputusan itu dibuat selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen pemantauan CA11A, Tasek, Ipoh mencatatkan bacaan 180 pada jam 11 pagi, hari ini,” katanya hari ini.
Dalam pada itu JPN Perak turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menekankan kepentingan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
Menurut kenyataan itu, institusi pendidikan yang terjejas hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.
Katanya, pelaksanaan PdPR perlu mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesediaan guru.
Selain itu, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan.
JPN Perak berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia dan memantau perkembangan bacaan IPU bersama institusi pendidikan yang terjejas bagi mengambil tindakan susulan mengikut garis panduan KPM.
Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga diminta sentiasa peka terhadap maklumat rasmi serta memberikan kerjasama bagi memastikan kesejahteraan anak-anak sepanjang situasi jerebu berterusan.
JPN Perak menegaskan bahawa keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan kekal menjadi keutamaan jabatan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







