BUDI95: Had 300 liter cukup tampung perjalanan ulang-alik dari Seremban ke Puncak Alam sepanjang bulan – MOF
PUTRAJAYA – Langkah kerajaan memperkenalkan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) iaitu sistem subsidi petrol baharu yang disasarkan khusus untuk rakyat Malaysia dengan peruntukan sekitar RM11 bilion adalah bagi menampung perbezaan harga antara petrol bersubsidi dan harga pasaran sebenar.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan, harga subsidi RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter berbanding harga pasaran tanpa subsidi yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
“Dengan pemansuhan subsidi pukal, kerajaan menjangkakan BUDI95 dapat menjana penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.
“Penjimatan itu akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu aktif layak secara automatik membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu katanya, siling kelayakan bulanan 300 liter ditetapkan berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mendapati 99 peratus pemandu kenderaan persendirian menggunakan kurang daripada jumlah tersebut.
Jelasnya, had itu juga mencukupi untuk pekerja yang berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam sepanjang bulan.
Pada masa sama katanya, siling yang tinggi itu juga berfungsi mengekang eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk penyeludup atau syarikat komersial berskala besar.
“Bagi memudahkan rakyat, portal rasmi www.budimadani.gov.my akan dibuka pada Khamis, 25 September 2025 bermula jam 9 pagi untuk semakan kelayakan dan baki penggunaan bulanan. Pemandu e-hailing turut boleh memohon tambahan kuota subsidi di portal sama.
“Selain itu, talian bantuan 1300-88-9595 turut disediakan mulai tarikh sama untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai pelaksanaan BUDI95,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








