BERITA SEMASA

Pengamal media mohon kuota 300 liter RON95 dikekalkan

CYBERJAYA — Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menggesa kerajaan mempertimbangkan pengecualian khas bagi pengamal media berdaftar untuk mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 sebulan, susulan pelaksanaan kuota baharu sebanyak 200 liter di bawah inisiatif BUDI RON95.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, GKMM memaklumkan pihaknya memahami cabaran yang dihadapi kerajaan dalam menguruskan subsidi bahan api, khususnya ketika krisis tenaga global yang masih berlarutan akibat ketegangan di Asia Barat.

Menurut kenyataan itu, GKMM menyambut baik usaha kerajaan meneruskan subsidi bersasar kepada rakyat, termasuk penetapan harga diesel pada RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan serta bantuan melalui inisiatif seperti BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu.

“Bagaimanapun, pengurangan kuota RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan disifatkan sebagai satu cabaran besar kepada pengamal media, khususnya mereka yang bertugas di negeri-negeri dan perlu melakukan perjalanan jauh serta berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari.

“GKMM menerima banyak keluhan daripada pengamal media yang mendapati kuota 200 liter tidak mencukupi dan habis sebelum tempoh akhir bulan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, GKMM mencadangkan agar kerajaan memberikan pengecualian khas kepada wartawan, jurugambar dan juruvideo berdaftar untuk terus menikmati kuota 300 liter seperti sebelum ini.

Menurut mereka, langkah tersebut penting bagi memastikan kelancaran tugasan liputan di lapangan selain membantu mengurangkan beban kos yang semakin meningkat.

Kenyataan bersama itu turut disokong oleh beberapa organisasi media termasuk Kelab Media Johor, Kelab Media Putrajaya, Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Kelab Media Kuala Lumpur & Selangor (KamiKLS) serta Sabah Journalist Association (SJA), bersama beberapa persatuan media negeri lain di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button