JENAYAH & MAHKAMAH

Presiden Mahkamah Rayuan tarik diri dengar permohonan BERSATU cabar keputusan Speaker Dewan Rakyat

PUTRAJAYA – Prosiding permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat berhubung status empat kerusi Parlimen di Sabah mencatat perkembangan baharu apabila Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau mengenali peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, yang mewakili BERSATU selama lebih 30 tahun.

“Walaupun percaya tiada konflik kepentingan terhadap kepentingan awam, beliau tetap meminta pandangan pihak-pihak terlibat sebelum memutuskan untuk menarik diri daripada panel,” katanya ketika prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili empat Ahli Parlimen BERSATU, menyatakan keberatan sekiranya Abu Bakar meneruskan penglibatan dalam pendengaran permohonan tersebut.

Susulan itu, panel hakim yang turut disertai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan, menetapkan esok sebagai tarikh pengurusan kes untuk menetapkan tarikh pendengaran baharu.

Prosiding hari ini turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, dan Peguam Persekutuan, Imtiyaz Wizni Aufa Othman, yang mewakili Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, sebagai responden pertama.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan pada 17 April 2023 oleh Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya yang turut menamakan empat Ahli Parlimen terbabit sebagai responden iaitu Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

BERSATU memohon agar keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari 2023 dibatalkan selepas Speaker memutuskan tiada kekosongan berlaku berdasarkan penjelasan Ahli Parlimen berkenaan dan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Perlembagaan BERSATU.

Parti itu turut memohon deklarasi bahawa keempat-empat mereka telah berhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan serta perintah supaya kekosongan luar jangka disahkan.

Pada 16 November 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan BERSATU bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Rayuan mereka kemudiannya turut ditolak Mahkamah Rayuan pada 4 Ogos lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button