Kes tikam di sekolah: Remaja perempuan didakwa di mahkamah esok
KUALA LUMPUR – Remaja perempuan yang disyaki menikam seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Banting, Kuala Langat pada Isnin lalu dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Telok Datok, esok.
Perkara itu dimaklumkan menerusi jemputan kepada media yang dikeluarkan Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Menurut jemputan berkenaan, prosiding pertuduhan akan berlangsung pada pukul 8 pagi, Jumaat.
“Pertuduhan akan dibuat pada 10 Julai 2026 jam 8 pagi di Mahkamah Telok Datok.
“Semua rakan-rakan media dijemput untuk membuat liputan,” menurut jemputan itu.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan suspek memberi alasan tidak berpuas hati dan memendam rasa selepas mendakwa menjadi mangsa buli sehingga bertindak menikam mangsa.
Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan polis termasuk rakaman percakapan beberapa individu serta semakan terhadap 10 nama pelajar yang tular di media sosial tidak menemukan bukti bahawa kejadian itu berpunca daripada perbuatan buli.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan.
Suspek yang ditahan pada hari kejadian sebelum ini direman selama empat hari bermula Selasa bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















