BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Hakim pengaruhi keputusan mahkamah hanya dakwaan spekulatif – Jabatan Peguam Negara

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara menegaskan tuduhan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat mempengaruhi keputusan mahkamah serta penugasan semula hakim adalah dakwaan serius, namun masih bersifat spekulatif dan pra-matang.

Jabatan itu menjelaskan bahawa pertimbangan dalam mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) adalah berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang.

“Tuduhan tersebut tidak boleh disamakan dengan salah laku yang telah dibuktikan. Ia kekal sebagai dakwaan yang pra-matang dan bersifat spekulatif semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan Peguam Negara mengulas gesaan beberapa ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Pandan yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung pelantikan dalam badan kehakiman.

Menurut jabatan itu, pelantikan hakim mahkamah atasan termasuk Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan adalah mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, iaitu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ yang menerima syor daripada mana-mana pihak.

“Beliau mempunyai tanggungjawab mengikut Perlembagaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman,” katanya lagi.

Jabatan itu turut berkata, pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong bulan lalu dan ketika ini sedang melalui beberapa formaliti.

Mengulas isu prosedur mesyuarat JAC yang didakwa dipanggil tanpa notis mencukupi, jabatan berkenaan menjelaskan bahawa Suruhanjaya itu boleh menguruskan prosedurnya sendiri termasuk mengadakan mesyuarat dengan notis singkat sekiranya mendapat persetujuan semua anggota.

“Perkara bersifat prosedural tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan terdapat unsur mala fide atau prejudis yang jelas,” katanya lagi.

Dalam masa sama, jabatan itu menolak perbandingan yang dibuat dengan kes VK Lingam pada 2007 dengan menyatakan dakwaan semasa tidak disokong bukti kukuh dan hanya berpaksikan anggapan serta ketidakaturan dari aspek prosedur.

Jabatan itu turut mengingatkan agar semua pihak tidak membuat kesimpulan terburu-buru kerana percanggahan masa atau prosedur dalam pelantikan hakim tidak semestinya menunjukkan berlakunya krisis perlembagaan.

“Pelantikan hendaklah dibuat secara tertib, mengikut prosedur sah serta menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Jabatan itu berkata, semua pihak perlu bertanggungjawab menegakkan keluhuran undang-undang dan prinsip pemisahan kuasa dengan memperkukuhkan kematangan institusi serta mengelak daripada membuat spekulasi tidak berasas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button