JENAYAH & MAHKAMAH

Hasrat isi minyak selepas kelas tambahan tidak kesampaian, dua calon SPM maut kemalangan

TEMERLOH – Hasrat dua sahabat yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengisi minyak motosikal selepas kelas tambahan dibatalkan berakhir tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 119, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 10.10 malam itu, dua pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Chenor, Muhammad Nazim Dzafran Mohd Faizul dan Muhammad Hafizuddin Muhammad Faizal, kedua-duanya berusia 17 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Kedua-dua sahabat itu dikatakan sering menghabiskan masa bersama sepanjang tempoh persekolahan dan mempunyai hubungan rapat sebagai rakan sekelas.

Bapa Muhammad Hafizuddin, Muhammad Faizal Mat Daud, 41, berkata anak sulung daripada empat beradik itu keluar dari rumah selepas menghantar adiknya pada pukul 6.30 petang.

Menurutnya, Hafizuddin memaklumkan mahu menunaikan solat Maghrib di Masjid Chenor sebelum menghadiri kelas tambahan pada malam kejadian.

“Bagaimanapun, kelas tambahan itu dibatalkan dan selepas itu dia bersama rakannya keluar untuk mengisi minyak motosikal.

“Difahamkan mereka pada awalnya mahu ke stesen minyak di Pekan Awah, namun saya tidak pasti bagaimana mereka boleh sampai ke Temerloh sebelum terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

Muhammad Faizal berkata, kehilangan anak sulungnya sukar diterima kerana Hafizuddin banyak membantu keluarga selain menjadi contoh kepada adik-adiknya.

“Semua anak adalah harapan ibu bapa, tetapi dia anak sulung yang banyak membantu keluarga. Dia seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa mengambil berat terhadap adik-adiknya.

“Namun, tidak sangka petang semalam menjadi pertemuan terakhir kami,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, Muhammad Nazim Dzafran juga sering bersama Hafizuddin kerana mereka merupakan rakan sekelas di SMKA Chenor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Yamaha LC 135 sedang dalam perjalanan dari arah bandar Temerloh menuju ke Chenor, Maran.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sebelum terlanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta Toyota Vios yang datang dari arah bertentangan dan tidak sempat mengelak,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button