Utamakan keselamatan diri sebelum bantu mangsa kemalangan – PHM
KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya tidak terburu-buru turun membantu mangsa kemalangan di jalan raya tanpa terlebih dahulu memastikan keadaan sekeliling benar-benar selamat.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) menegaskan niat membantu mangsa kemalangan sememangnya satu tindakan mulia, namun keselamatan diri perlu menjadi keutamaan bagi mengelakkan tragedi lebih buruk berlaku.
“Bila berlaku kemalangan di highway atau jalan besar, bahaya belum tentu sudah habis. Kenderaan lain masih laju. Lampu mungkin kurang jelas. Pemandu belakang mungkin tidak sempat nampak.
“Dalam beberapa saat, orang yang datang untuk membantu pula boleh menjadi mangsa seterusnya,” katanya.
PHM turut meluahkan rasa simpati terhadap beberapa kes melibatkan penunggang motosikal yang cuba membantu mangsa kemalangan tetapi akhirnya turut dirempuh kenderaan lain.
Katanya, situasi itu menunjukkan bahawa niat baik sahaja tidak mencukupi sekiranya aspek keselamatan diabaikan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terus berhenti di tengah laluan, tidak berdiri terlalu dekat dengan kenderaan terlibat serta tidak melintas laluan laju hanya untuk melihat keadaan.
Sebaliknya, pengguna jalan raya disaran memasang lampu kecemasan jika perlu, berhenti di lokasi selamat yang jauh daripada aliran trafik dan segera menghubungi bantuan kecemasan.
“Kalau keadaan terlalu bahaya, bantu dari jarak selamat. Beri maklumat lokasi, pandu perlahan dan beri ruang.
“Jangan tambah kesesakan. Jangan berhenti hanya untuk merakam,” tegasnya lagi.
Menurutnya, tragedi kedua kadangkala berlaku bukan kerana orang ramai tidak peduli, tetapi kerana terlalu cepat bertindak membantu tanpa menilai risiko di sekeliling.
“Baik hati itu mulia, tetapi pulang selamat kepada keluarga juga satu tanggungjawab,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















