Pengambilan berlebihan kentang goreng tingkat risiko diabetes – PHM
KUALA LUMPUR – Kentang goreng yang menjadi pilihan ramai sebagai snek atau hidangan sampingan mungkin kelihatan tidak berbahaya, namun pengambilan secara kerap boleh meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan termasuk diabetes jenis 2.
Menerusi perkongsian di Facebook Public Health Malaysia (PHM), makanan yang pada asalnya hanya sebiji kentang itu melalui pelbagai proses sebelum sampai ke tangan pengguna, termasuk penambahan bahan tertentu dan proses menggoreng pada suhu tinggi.
Menurut PHM, bergantung kepada jenama dan formulasi, sesetengah produk kentang goreng komersial mengandungi kanji ubah suai, dextrose, bahan penstabil, perisa serta bahan tambahan lain sebelum digoreng.
“Kentang itu kemudian dicelup ke dalam minyak yang sangat panas. Air di permukaannya hilang, manakala minyak mula meresap. Bahagian luar menjadi perang dan rangup.
“Pada suhu tinggi, tindak balas antara gula dan asid amino dalam kentang boleh membentuk acrylamide,” menurut perkongsian itu.
PHM menjelaskan, tekstur rangup di luar, lembut di dalam serta rasa masin dan berlemak menyebabkan kentang goreng mudah dimakan dalam kuantiti yang banyak tanpa disedari.
“Satu batang masuk ke mulut, kemudian satu lagi. Sebelum otak sempat menerima isyarat bahawa perut sudah cukup, bekas itu sudah kosong,” katanya.
Menurut PHM, selepas dimakan, kanji dalam kentang dipecahkan menjadi glukosa dan tubuh akan mengeluarkan insulin bagi mengawal paras gula dalam darah, manakala lemak daripada minyak turut diserap sebagai sumber tenaga.
“Tubuh tidak terus rosak selepas satu hidangan. Tetapi apabila tenaga yang masuk sentiasa melebihi keperluan, lebihan itu akan disimpan sedikit demi sedikit sehingga menyebabkan berat badan dan lemak di bahagian abdomen meningkat,” jelasnya.
PHM turut memetik satu kajian melibatkan lebih 200,000 peserta yang mendapati setiap tambahan tiga hidangan kentang goreng seminggu dikaitkan dengan peningkatan kira-kira 20 peratus risiko menghidap diabetes jenis 2.
Menurut PHM, walaupun kentang goreng berasal daripada kentang, proses menggoreng awal, pembekuan, menggoreng semula, penyerapan minyak serta penambahan garam menyebabkan kesannya terhadap tubuh berbeza berbanding kentang rebus.
“Makan sekali-sekala bukanlah bencana. Yang berbahaya ialah apabila makanan yang direka untuk mudah dimakan ini menjadi rutin, dijadikan snek petang, lauk anak atau hidangan setiap kali keluar sehingga kita tidak lagi sedar berapa banyak yang telah dimakan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















