BERITA SEMASA

Simpan dulu daging korban elak bau hamis, tekstur lebih lembut – PHM

KUALA LUMPUR – Orang ramai disaran menyimpan terlebih dahulu daging korban di dalam peti sejuk sebelum dimasak bagi mengurangkan bau hamis selain memastikan teksturnya lebih lembut dan mudah dipotong.

Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, daging yang baru disembelih masih berada dalam keadaan otot yang tegang menyebabkan teksturnya kadangkala menjadi lebih liat dan kurang ‘juicy’ jika terus dimasak.

Menurutnya, proses menyejukkan daging di dalam ‘chiller’ selama beberapa jam atau semalaman membantu menurunkan lebihan cecair sekali gus mengurangkan bau hamis.

“Bila daging ditoskan, diasingkan dan disejukkan dalam chiller, cecair lebihan lebih mudah turun.

“Bau hamis juga boleh berkurang dan daging lebih mudah dipotong, dibungkus serta disimpan ikut portion sekali masak,” katanya.

Bagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya tidak membiarkan daging mentah terlalu lama pada suhu bilik kerana keadaan cuaca panas dan persekitaran dapur boleh menyebabkan pencemaran makanan berlaku dengan lebih cepat.

Menurut kenyataan itu, daging mentah yang dibiarkan lama di atas meja dapur lebih berisiko terdedah kepada lalat selain dipegang ramai individu ketika proses pengagihan dan penyediaan.

“Kalau tiada ruang chiller, atau daging sudah lama berada di luar, lebih baik masak terus pada hari yang sama daripada dibiarkan lama-lama,” jelasnya.

PHM turut menasihatkan agar organ dalaman seperti hati, paru-paru, limpa dan perut diurus serta dimasak lebih awal kerana bahagian tersebut lebih mudah rosak berbanding daging pejal.

Katanya, daging korban boleh terus dimasak pada hari sama, namun proses penyejukan terlebih dahulu membantu menghasilkan tekstur yang lebih lembut selain lebih selamat untuk disimpan dalam tempoh lama jika dibekukan.

“Rezeki korban itu indah. Bila diurus dengan bersih, ia bukan sahaja lebih sedap dimakan, tetapi lebih selamat untuk keluarga,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button