BERITA SEMASA

Skip sahur demi kurus undang risiko kehilangan otot, metabolisme merosot

KUALA LUMPUR – Tindakan sengaja meninggalkan sahur dengan alasan mahu mempercepatkan penurunan berat badan sepanjang Ramadan sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan dan merosakkan metabolisme tubuh.

Perkara itu didedahkan menerusi perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM) yang menjelaskan bahawa penurunan berat badan secara mendadak dalam tempoh singkat bukan semestinya berpunca daripada pembakaran lemak.

“Bila timbang lepas seminggu puasa, seronok tengok jarum penimbang turun dua kilogram.

“Tapi perasan tak, badan rasa lembik, cepat letih dan baju rasa gelebeh kat bahagian lengan atau perut?

“Tahukah anda, berat yang hilang tu berkemungkinan besar adalah otot anda yang sedang mengecut, bukannya lemak degil yang terbakar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Jelasnya lagi, apabila seseorang tidak makan dari waktu berbuka sehingga berbuka keesokan harinya tanpa sahur, badan akan memasuki fasa kecemasan atau ‘starvation mode’.

“Simpanan tenaga (glikogen) akan habis. Otak memerlukan glukosa atau gula segera untuk berfungsi tapi nak bakar lemak degil ambil masa yang lama dan proses yang kompleks,” katanya.

Dalam situasi itu, tubuh akan menggunakan proses yang dikenali sebagai glukoneogenesis iaitu memecahkan tisu otot untuk ditukarkan kepada gula dalam darah sebagai sumber tenaga segera.

Akibatnya, berat badan memang menurun, tetapi yang hilang adalah otot, bukan lemak.

Tambahnya lagi, otot merupakan ‘enjin’ utama pembakaran kalori dalam badan. Apabila jisim otot semakin berkurangan, kadar metabolisme turut merosot.

“Inilah punca utama kenapa bila tiba Hari Raya pertama, anda makan sikit je lemang dan rendang, tapi berat terus melantun naik dua kali ganda berbanding sebelum puasa (Kesan Yoyo). Enjin bakar lemak anda dah rosak,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak meninggalkan sahur jika ingin menurunkan berat badan secara sihat.

Antara cadangan yang dikemukakan PHM ialah mengambil sumber protein tinggi seperti telur rebus, ayam bakar dan tempe, selain karbohidrat kompleks seperti oat dan roti jagung ketika sahur.

“Protein bertindak sebagai ‘perisai’ yang menghalang badan daripada memakan otot anda sendiri di waktu siang.

“Bila otot selamat, barulah badan terpaksa bakar lemak degil itu. Jangan seksa badan dan sabotaj metabolisme sendiri.

“Nak kurus biarlah dengan ilmu, bukan dengan cara menahan lapar membabi buta,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button