Karam Singh Walia disifatkan ‘guru tidak rasmi’ PHM
KUALA LUMPUR – Pemergian tokoh wartawan alam sekitar, Datuk Karam Singh Walia disifatkan sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada dunia media, malah kepada gerakan kesedaran kesihatan awam di negara ini.
Menerusi satu kenyataan, Public Health Malaysia (PHM) menyifatkan mendiang sebagai ‘guru tidak rasmi’ yang banyak membentuk pendekatan komunikasi mereka dalam mendidik masyarakat.
Menurut kenyataan itu, Karam bukan sekadar seorang wartawan, sebaliknya figura yang berjaya membawa isu alam sekitar dekat dengan rakyat biasa tanpa mengira latar belakang.
“Beliau adalah antara sosok yang buat kami faham bahawa bercakap untuk rakyat tidak semestinya manis.
“Kadang-kadang, untuk selamatkan rakyat, sungai, hutan, udara dan masa depan negara, suara itu perlu tegas, tajam dan berani, walaupun buat orang rasa tidak selesa.
“Ini kerana kebenaran memang jarang kedengaran sedap,” menurut kenyataan PHM di media sosial.
PHM turut menegaskan bahawa pendekatan komunikasi yang berkesan bukan hanya bergantung kepada fakta semata-mata, sebaliknya perlu disertai jiwa, keberanian serta kepekaan terhadap nasib rakyat dan alam sekitar.
Tambah kenyataan itu lagi, gaya penyampaian mendiang yang mudah difahami berjaya menjadikan isu seperti pencemaran, pembalakan dan kemusnahan alam sebagai sesuatu yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat.
BACA JUGA:
Wartawan terkenal Karam Singh Walia meninggal dunia
“Beliau buat orang kampung faham, mak ayah faham dan penonton sedar bahawa isu alam sekitar bukan cerita jauh, tetapi realiti hidup kita semua,” katanya lagi.
Sehubungan itu, mereka mengakui bahawa pendekatan tegas dan lantang yang dibawa oleh organisasi berkenaan hari ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh legasi yang ditinggalkan oleh mediang.
“Mendidik rakyat bukan sekadar memujuk. Kadang-kandang, ia juga tentang mengejutkan dan menyedarkan supaya kita berhenti sekejap untuk berfikir tentang masa depan generasi akan datang,” katanya lagi.
PHM dalam masa sama merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mediang menyifatkan pemergian beliau sebagai kehilangan seorang tokoh yang meninggalkan teladan besar kepada masyarakat.
“Perginya seorang wartawan, namun tinggalnya sebuah legasi bahawa bercakap untuk kepentingan awam adalah satu amanah.
“Perginya seorang tokoh, tinggalnya sebuah teladan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bekas wartawan penyiaran TV3 itu meninggal dunia awal pagi tadi.
Sepanjang kerjayanya sebagai wartawan, mendiang dikenali sebagai antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh di negara ini, menerusi laporan-laporan khas yang berani serta berimpak tinggi, khususnya dalam mengetengahkan isu pencemaran, keselamatan awam dan kelestarian alam sekitar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















