Mulut orang dewasa turut diuji ketika keputusan SPM – PHM
KUALA LUMPUR – Saat ribuan pelajar di seluruh negara menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 semalam, perhatian bukan sahaja tertumpu kepada pencapaian mereka, malah turut menguji sikap dan tutur kata golongan dewasa.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan bahawa tekanan yang dihadapi pelajar bukan sekadar berkaitan keputusan peperiksaan, tetapi juga reaksi awal daripada ibu bapa dan orang sekeliling.
Menurut kenyataan itu, ramai pelajar hadir mengambil slip keputusan dalam keadaan cemas, namun apa yang paling dibimbangi adalah soalan atau perbandingan yang sering dilontarkan seperti jumlah gred A, pencapaian rakan lain serta harapan tinggi keluarga.
“Kadang-kadang, satu slip keputusan belum sempat dilipat kemas, tetapi harga diri anak sudah habis dicarik-carik akibat kata-kata orang dewasa,” menurut perkongsian tersebut.
Tambahnya, tidak semua pelajar pulang dengan kegembiraan. Ada yang menahan air mata, berpura-pura tenang di hadapan rakan, malah ada yang lebih takut berdepan pertanyaan ahli keluarga berbanding melihat keputusan sendiri.
Justeru, orang dewasa disaran agar tidak menjadikan rumah sebagai ‘mahkamah’ atau meja makan sebagai tempat soal siasat serta mengelakkan perbandingan dengan kejayaan anak orang lain.
Sebaliknya, pendekatan lebih empati perlu diutamakan.
Pelajar yang cemerlang wajar diraikan, manakala mereka yang kecewa memerlukan sokongan emosi yang lebih besar.
“Pada hari seperti ini, anak-anak tidak perlukan hakim, mereka perlukan ruang untuk bernafas,” jelas kenyataan itu.
Perkongsian tersebut turut menegaskan bahawa satu keputusan peperiksaan tidak menentukan keseluruhan masa depan seseorang namun kata-kata yang menyakitkan mampu meninggalkan kesan jangka panjang terhadap emosi anak-anak.
Sehubungan itu, orang dewasa disaran untuk memulakan perbualan dengan pertanyaan yang lebih prihatin seperti ‘awak okay ke?’ sebelum menyentuh soal keputusan akademik.
Dalam masa sama, ucapan tahniah turut diberikan kepada semua calon SPM, dengan peringatan agar masyarakat memainkan peranan menyokong, bukan menambah tekanan.
“Jika tidak mampu memberi semangat, jangan menambah luka,” tegas PHM.
Semalam, seramai 13,779 calon SPM 2025 memproleh keputusan cemerlang dengan kombinasi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








