BERITA SEMASA

Tanpa uniform, dia tetap jururawat – PHM

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas seorang jururawat membantu menyelamatkan wanita yang tercekik makanan baru-baru ini mendapat perhatian ramai selepas kisah itu dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM) sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia.

Menurut perkongsian di Facebook PHM, jururawat dikenali sebagai Siti Maisyura yang bertugas di Pantai Hospital Ipoh itu baru sahaja menamatkan syif malam pada pagi 4 Mei lalu sebelum kejadian berlaku.

Ketika itu, beliau difahamkan sedang menunggu temu janji susulan anaknya berhampiran sebuah kafe di hospital tersebut.

Bagaimanapun, suasana bertukar cemas apabila seorang wanita dilaporkan tercekik makanan dan mengalami kesukaran bernafas.

“Dalam keadaan orang sekeliling panik, Siti Maisyura bangun dan terus membantu.

“Dengan tenang, beliau melakukan bantuan kecemasan menggunakan kaedah Heimlich. Beberapa saat kemudian, objek yang menyekat saluran pernafasan berjaya dikeluarkan,” tulis PHM.

Dalam hantaran itu, PHM menyifatkan tindakan jururawat berkenaan sebagai gambaran sebenar profesion kejururawatan yang sentiasa bersedia membantu walaupun di luar waktu bertugas.

“Kadang-kadang nyawa seseorang terselamat bukan kerana peralatan canggih ada di depan mata, tetapi kerana ada seorang manusia yang tahu apa perlu dibuat dan cukup berani untuk bertindak,” tulisnya lagi.

Perkongsian tersebut turut menzahirkan penghargaan kepada semua jururawat yang terus berbakti dan membantu masyarakat dalam apa jua keadaan.

“Terima kasih Siti Maisyura. Terima kasih kepada semua jururawat yang terus memilih untuk peduli, walaupun ketika dunia tidak menyangka merekalah orang pertama yang akan bangun membantu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button