Angka korban gempa bumi Venezuela cecah 4,000 orang, ribuan masih hilang
CARACAS – Angka korban akibat gempa bumi berganda yang melanda Venezuela terus meningkat apabila kerajaan negara itu mengesahkan lebih 4,000 nyawa terkorban dalam bencana yang disifatkan sebagai antara paling buruk dalam sejarah moden negara berkenaan.
Ketua Parlimen Venezuela, Jorge Rodriguez berkata, setakat semalam, seramai 4,118 mangsa disahkan maut manakala 16,740 lagi cedera selepas dua gempa bumi kuat melanda negara itu pada 24 Jun lalu, memetik laporan Reuters.
Beliau berkata, ribuan lagi masih dilaporkan hilang, sekali gus menimbulkan kebimbangan angka korban akan terus meningkat walaupun operasi mencari mangsa yang terselamat telah ditamatkan.
Gempa bumi pertama bermagnitud 7.2 disusuli gegaran kedua bermagnitud 7.5 hanya 39 saat kemudian, menjadikannya gempa bumi paling kuat pernah direkodkan di Venezuela dalam tempoh lebih 100 tahun.

Gegaran itu memusnahkan kawasan perumahan, bangunan bertingkat serta infrastruktur awam terutama di negeri pesisir La Guaira dan sekitar Caracas.
Menurut laporan media antarabangsa, ratusan blok pangsapuri runtuh, manakala lebih 17,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara.
Keadaan di kawasan perlindungan semakin mencabar apabila bekalan air bersih, sanitasi dan perkhidmatan kesihatan masih terhad sekali gus meningkatkan risiko penularan penyakit.
BACA JUGA:
Gempa bumi berganda gegar Venezuela, ratusan pasukan kecemasan dikerah bantu operasi menyelamat
Gempa bumi Venezuela: Angka korban cecah 1,430 mangsa
Neymar sumbang RM1 juta bantu mangsa gempa bumi Venezuela
Walaupun pasukan penyelamat rasmi telah menghentikan operasi mencari mangsa hidup, ramai ahli keluarga masih meneruskan usaha menggali runtuhan secara sukarela bagi mencari jasad insan tersayang untuk dikebumikan dengan sempurna.
Semalam, satu lagi gegaran susulan bermagnitud 3.0 dilaporkan berlaku di tengah Caracas sehingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk dan menyebabkan beberapa bangunan dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Skala kemusnahan turut memberi tekanan besar kepada Venezuela yang masih bergelut dengan krisis ekonomi berpanjangan dan sekatan antarabangsa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini melancarkan rayuan kecemasan berjumlah hampir AS$300 juta (RM1.2 bilion) bagi membantu operasi kemanusiaan untuk lebih 1.3 juta penduduk yang terjejas.
Presiden sementara Venezuela, Delcy Rodriguez sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa membenarkan negara itu mengakses aset yang dibekukan di luar negara bagi mempercepatkan usaha pemulihan.
Beliau turut mengesahkan telah mengutus surat kepada Raja Charles III bagi memohon pelepasan kira-kira 31 tan simpanan emas Venezuela yang disimpan di Bank of England, selain mengadakan perbincangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk membina semula kawasan yang musnah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















