BERITA SEMASA

Kerajaan sedia pertimbang ambilan jururawat luar negara

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia mempertimbangkan pengambilan jururawat dari luar negara bagi mengisi kekurangan di hospital awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, terdapat syarat yang perlu diteliti khususnya berkaitan kemahiran, klinikal dan keselamatan untuk membawa masuk jururawat asing ke negara ini.

“Kami di KKM (Kementerian Kesihatan) tidak menolak akan usaha atau pilihan untuk mempertimbangkan kemasukan jururawat dari luar negara. Syaratnya adalah pastikan dari sudut keupayaan dan klinikal, kemahiran mereka antara perkara paling mustahak untuk pastikan standard, selain aspek keselamatan, kecekapan dan persoalan lain misalnya dari segi budaya dan bahasa.

“Ini semua akan kami pertimbang dan sedia pertimbang. Kalau ada permohonan yang jelas dan formal, pasti kita akan pertimbangkan segera, tapi setakat ini belum ada,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai kesediaan KKM mengambil jururawat dari negara luar terutama Indonesia bagi mengisi kekosongan perjawatan itu di hospital awam.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, setakat ini KKM belum menerima sebarang permohonan rasmi dari mana-mana negeri bagi tujuan itu.

“Sememangnya perkara ini jadi pertimbangan dan keprihatinan kami atas kekurangan jumlah jururawat di seluruh negara. Angka paling mutakhir (jumlah jururawat seluruh negara) adalah 8,000 dan saya sangat sedar realiti ini, malah tak mudah untuk kita tingkatkannya.

“Ia memerlukan masa, misalnya dua tahun untuk program diploma (kejururawatan) dan sebagainya. Oleh itu, perlu ada cara untuk tangani jurang ini, sesegera (yang boleh),” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button