Caj minimum konsultasi doktor klinik swasta kekal RM10
Harga siling dinaikkan daripada RM35 kepada RM80
PUTRAJAYA – Kadar minimum caj konsultasi pengamal perubatan am (GP) kekal pada RM10 bagi melindungi rakyat daripada beban kos kesihatan yang tinggi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah mengekalkan harga minimum itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kemampuan rakyat untuk terus mendapatkan rawatan asas tanpa tekanan kewangan.
“Dalam apa pun polisi, ia pasti ada kesan (yang) sifatnya double-edged. Rakyat akan memandang kepada kos mereka sebab biasanya kalau yang tidak ada insurans mereka perlu tanggung (kos) sendiri, jadi ini memberi beban kepada mereka.
“Sebab itu kita (kerajaan) sangat peka bahawa harga lantai ini kita tidak naikkan dan itu adalah satu kelegaan besar kepada rakyat,” katanya selepas majlis sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar harga siling caj kepada RM80 adalah untuk memberi fleksibiliti kepada pengamal GP menetapkan caj berdasarkan tahap perkhidmatan yang ditawarkan.
“Rawatan selama 10 minit untuk batuk dan selesema biasa tidak boleh disamakan dengan sesi selama 40 minit yang melibatkan ujian diabetes, kolesterol, hipertensi atau penilaian kesihatan mental.
“Dengan langkah ini, kita mahu GP lebih bertanggungjawab dan benar-benar memahami serta memantau status kesihatan pesakit secara menyeluruh,” katanya lagi.
Beliau menyifatkan langkah menaikkan harga siling itu sebagai strategi galakan halus bagi mendorong GP memberikan rawatan lebih bertanggungjawab, sambil memastikan rakyat memperoleh nilai yang sepadan dengan wang yang dibelanjakan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2026 memberitahu kerajaan menyemak semula kadar fi perundingan pengamal perubatan am kepada antara RM10 hingga RM80 berbanding RM10 hingga RM35 sebelum ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








