Jururawat New Zealand lancar mogok bantah tawaran gaji
WELLINGTON – Lebih 36,000 jururawat, bidan dan pembantu penjagaan kesihatan di seluruh New Zealand melancarkan mogok besar-besaran selama 24 jam bermula pagi semalam, selepas rundingan berhubung isu gaji dan pengambilan kakitangan menemui jalan buntu.
Difahamkan, tawaran gaji oleh pihak berkuasa kesihatan awam, Health New Zealand, tidak memenuhi jangkaan para jururawat, manakala isu kekurangan kakitangan kini menjadi kebimbangan utama sektor tersebut.
Menurut penyiar nasional Radio New Zealand, Health New Zealand mencadangkan kenaikan gaji sebanyak tiga peratus dalam tempoh 27 bulan. Sebagai reaksi, Organisasi Jururawat New Zealand (NZNO) mengemukakan tawaran balas dengan mencadangkan kenaikan lima peratus dalam tempoh dua tahun.
Dalam pada itu, data yang diperoleh NZNO daripada Health New Zealand menunjukkan bahawa wad pembedahan di hospital mengalami kekurangan kakitangan lebih daripada separuh untuk syif 24 jam sepanjang tahun lalu.
Ketua Eksekutif NZNO, Paul Goulter menegaskan bahawa pihak berkuasa gagal memenuhi permintaan mendesak bagi pengisian jawatan penting yang telah dikenal pasti demi menjamin bilangan kakitangan yang mencukupi dan selamat.
“NZNO menyuarakan kebimbangan berhubung kekurangan kakitangan yang kronik dan berterusan sepanjang proses rundingan perjanjian kolektif yang bermula sejak September lepas,” kata Goulter lapor agensi berita Xinhua.
Menurut NZNO, tindakan mogok ini melibatkan penghentian kerja sepenuhnya di semua lokasi di negara itu di mana Health New Zealand menyediakan perkhidmatan kesihatan atau hospital.
Walau bagaimanapun, perkhidmatan menyelamat nyawa akan terus diberikan.
“Orang awam boleh yakin yang kami mempunyai perjanjian dengan NZNO untuk menyokong perkhidmatan menyelamat nyawa sepanjang mogok ini, dan hospital serta jabatan kecemasan kami akan kekal dibuka,” ujar Ketua Eksekutif Health New Zealand, Dr. Dale Bramley.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








