BERITA SEMASA

Tunggu hingga 11 jam di Jabatan Kecemasan, petanda sistem kesihatan semakin terbeban

KUALA LUMPUR – Tempoh menunggu sehingga 11 jam di Jabatan Kecemasan sesebuah hospital mencerminkan tekanan yang semakin meningkat terhadap sistem kesihatan negara.

Perkongsian oleh seorang petugas kesihatan yang disiarkan menerusi laman Facebook Public Health Malaysia (PHM) mendedahkan bahawa kakitangan hospital kini berdepan tekanan hebat apabila berhadapan dengan pesakit yang marah, memaki hamun dan menyalahkan mereka akibat tempoh menunggu yang terlalu lama.

“Setiap hari kami berdepan pesakit yang marah, menuding jari dan memaki petugas. Tetapi kami sendiri sudah terlalu letih dan hilang semangat,” kata petugas tersebut yang dirahsiakan identitinya.

PHM menjelaskan bahawa ramai masih salah faham dengan menganggap pesakit di Jabatan Kecemasan dirawat mengikut giliran ketibaan.

Sebaliknya, rawatan diberikan berdasarkan sistem triage iaitu mengikut tahap kecemasan pesakit.

“Ketika anda sedang menunggu, mungkin pasukan perubatan sedang menguruskan pesakit yang mengalami serangan jantung, strok, pendarahan serius, kemalangan atau kes yang memerlukan bantuan pernafasan segera,” kata PHM.

Bagaimanapun, PHM menegaskan tempoh menunggu sehingga berjam-jam bukanlah sesuatu yang sepatutnya dianggap normal.

Menurutnya, keadaan itu menjadi petunjuk bahawa sistem kesihatan sedang menanggung beban yang tinggi akibat peningkatan jumlah pesakit, kekurangan katil wad, kes kecemasan yang semakin kompleks serta bilangan petugas dan ruang rawatan yang terhad.

Orang ramai diingatkan bahawa mereka berhak mendapatkan penjelasan mengenai tempoh menunggu, namun tidak sepatutnya bertindak memaki, mengugut atau menyerang petugas kesihatan yang hanya menjalankan tanggungjawab mereka.

“Petugas kesihatan juga manusia. Mereka bekerja dalam keadaan letih, lapar dan tertekan, sambil perlu memastikan keputusan klinikal dibuat dengan selamat,” tegas PHM.

Sehubungan itu, PHM turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau klinik berhampiran sekiranya mengalami penyakit ringan seperti selesema, sakit tekak, ruam yang telah lama dialami atau masalah kesihatan yang stabil.

“Namun segera ke Jabatan Kecemasan sekiranya mengalami sesak nafas, sakit dada, tanda strok, pendarahan banyak, pengsan, sawan atau kecederaan serius,” katanya lagi.

Menurut PHM, tempoh menunggu sehingga 11 jam bukan sekadar angka.

“Di belakangnya ada pesakit yang kecewa, petugas yang keletihan dan sebuah sistem yang sedang meminta pertolongan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button