BERITA SEMASA

Kurang ucapan ‘terima kasih, tolong, maaf’ petanda kemerosotan kecerdasan emosi

KUALA LUMPUR – Sikap tidak menghargai bantuan kecil seperti menahan pintu lif atau pintu premis mungkin kelihatan remeh, namun ia sebenarnya mencerminkan kemerosotan kecerdasan emosi (EQ) dalam masyarakat.

Menurut perkongsian terkini oleh Public Health Malaysia (PHM), kegagalan mengucapkan kata-kata ringkas seperti ‘terima kasih’, ‘tolong’ dan ‘maaf’ bukan sekadar isu adab, malah memberi kesan kepada kesejahteraan psikologi serta kesihatan mental masyarakat.

“Perkara ini nampak macam remeh, tapi ia adalah simptom penyakit ‘Kekurangan EQ’ yang semakin parah dalam masyarakat kita hari ini.

“Kita terlalu sibuk mengejar kejayaan akademik dan material, sehingga kita tertinggal tiga perkara paling asas untuk menjadi manusia iaitu hormat, adab dan common sense (kewarasan akal),” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah PHM, dari sudut psikologi, ucapan ringkas seperti ‘terima kasih’, ‘tolong’ dan ‘maaf’ bukan sekadar pelengkap ayat.

“Ia ada pelincir sosial yang sangat berkuasa. Bila anda mengucapkan ‘terima kasih’, otak manusia akan merembeskan hormon gembira (dopamin dan serotonin).

“Rembesan ini berlaku bukan sahaja kepada orang yang menerima ucapan tersebut, tetapi juga kepada anda yang mengungkapkannya. Ia membina rasa saling menghargai dan menurunkan tahap stres (kortisol) dalam interaksi harian,” jelasnya.

Sebaliknya, persekitaran yang kurang kepekaan sosial seperti memotong barisan, bercakap guna telefon terlalu kuat di tempat awam atau meletakkan kenderaan secara double park tanpa meninggalkan nombor telefon, boleh mencetuskan tekanan kecil berterusan atau micro-stress kepada orang sekeliling.

Keadaan ini dikatakan antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan sikap mudah marah dan insiden road rage di jalan raya.

Sehubungan itu, orang ramai disarankan untuk mengamalkan tiga nilai utama dalam kehidupan seharian.

Pertama hormat, dengan melayan semua individu termasuk pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan pelayan restoran dengan penuh penghargaan tanpa mengira pangkat.

Kedua adab, dengan membiasakan penggunaan tiga ungkapan penting iaitu ‘tolong’, ‘maaf’ dan ‘terima kasih’.

Ketiga common sense, iaitu kepekaan terhadap keadaan sekeliling seperti memberi laluan di eskalator atau memudahkan urusan orang lain.

“Ketiga-tiga benda ini tak berat, tak makan ruang dan langsung tak perlukan modal wang ringgit.

“Tetapi ia akan menentukan ‘class’ dan nilai diri anda yang sebenar di mata masyarakat,” tegas PHM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button