BERITA SEMASA

Dr Zambry kenang Allahyarham Syazriz Anaz, ucap takziah kepada keluarga

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Syazriz Anaz yang meninggal dunia di Hospital Ipoh.

Menerusi perkongsian di Facebook, Zambry berkata, berita pemergian Allahyarham amat mendukacitakan, apatah lagi beliau pernah bertemu dan bersembang dengan Allahyarham ketika menghadiri sebuah program di Universiti Utara Malaysia (UUM), kira-kira setahun lalu.

Menurutnya, pertemuan singkat itu meninggalkan ingatan yang mendalam terhadap Allahyarham yang ketika itu memperkenalkan dirinya sebagai anak kelahiran Lekir.

“Rasanya seperti baru semalam saya bersembang dengannya dan melihat sendiri semangat yang ada pada dirinya.

“Pertemuan itu mungkin singkat, tetapi meninggalkan ingatan yang cukup mendalam. Masih terngiang lagi Anaz memperkenalkan dirinya berasal dari Lekir ketika itu,” katanya.

Zambry berkata, Allah SWT kini lebih menyayangi Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan yang amat berat ini.

“Saya mendoakan semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham adik Anaz, merahmati rohnya, melapangkan kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Allahyarham Syazriz Anaz merupakan pelajar semester dua Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif Dengan Kepujian di UUM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button