Bekas CEO, CFO ditahan bantu siasatan khas RCI Tabung Haji
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Kedua-dua individu berkenaan yang masing-masing berusia 68 dan 60 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 6.30 petang, semalam.
Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan pada malam sama atas faktor kesihatan dan dijadualkan hadir semula ke SPRM pada jam 10 pagi ini bagi menyambung rakaman percakapan.
Penahanan itu dibuat susulan siasatan Pasukan Khas yang ditubuhkan bagi meneliti dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan.
Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan pembelian saham dua syarikat perladangan terbabit.
Siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






