BERITA SEMASALUAR NEGARA

Perancis iktiraf Palestin, cetus gelombang sokongan baharu

NEW YORK – Perancis semalam secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, susulan langkah bersejarah yang dibuat oleh United Kingdom sehari sebelumnya, sekali gus mencetuskan gelombang sokongan baharu terhadap penyelesaian dua negara yang lama terbantut.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Emmanuel Macron ketika membuka sidang kemuncak khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang Sidang Agung tahunan yang bakal menghimpunkan lebih 140 pemimpin dunia.

“Setia kepada komitmen sejarah negara saya terhadap keamanan di Asia Barat, saya dengan ini mengisytiharkan bahawa Perancis mengiktiraf negara Palestin,” katanya yang disambut tepukan gemuruh para delegasi antarabangsa.

Selain Perancis dan United Kingdom, Kanada, Australia dan Portugal turut mengumumkan pengiktirafan sama, memperkukuh tekanan antarabangsa ke arah penyelesaian konflik yang berlarutan lebih tujuh dekad.

Israel dan Amerika Syarikat (AS) bagaimanapun memboikot sidang berkenaan sambil menuduh pengiktirafan tersebut sebagai tindakan yang menyokong keganasan serta berisiko menggugat kestabilan serantau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan negaranya tidak akan membenarkan penubuhan sebuah negara Palestin malah memberi isyarat berkemungkinan menguasai wilayah Asia Barat sebagai tindak balas.

Delegasi Palestin, termasuk Duta Besar ke PBB, Riyad Mansour berdiri dan bertepuk tangan meraikan pengumuman Macron, manakala Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang dilarang hadir oleh Washington turut kelihatan bertepuk tangan menerusi siaran langsung video khas Sidang Agung PBB.

Walaupun pengiktirafan itu bersifat simbolik dan tidak menjamin perubahan segera di lapangan, ia tetap dilihat sebagai langkah penting untuk menghidupkan semula rundingan damai yang terhenti sejak 2014.

Kini hampir tiga perempat daripada 193 negara anggota PBB mengiktiraf Palestin.

Macron bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dijangka mengetuai perbincangan lanjut mengenai pelan damai serta langkah konkrit ke arah penyelesaian dua negara, termasuk gencatan senjata dan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Sidang Agung PBB tahun ini dijangka menjadi pentas utama menilai semula pendekatan global terhadap konflik Israel-Palestin, dengan tekanan semakin memuncak supaya penyelesaian jangka panjang dicapai sebelum aspirasi penubuhan negara Palestin lenyap sepenuhnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button