BERITA SEMASALUAR NEGARA

Malaysia undi sokong resolusi PBB iktiraf negara Palestin melalui Deklarasi New York

PUTRAJAYA – Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin apabila mengundi menyokong Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Deklarasi New York yang mengiktiraf negara Palestin, semalam.

Resolusi itu diluluskan dengan sokongan majoriti besar iaitu 142 undi daripada Negara Anggota PBB, sekali gus memperkukuh solidariti antarabangsa terhadap usaha merealisasikan penyelesaian dua negara.

“Komitmen kolektif masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara dan pengiktirafan Palestin merupakan langkah penting untuk menamatkan pendudukan haram Israel serta menghentikan jenayah keganasan rejim Zionis.

“Justeru, Malaysia membuat keputusan untuk menyokong resolusi ini,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan, hari ini.

Malaysia turut menegaskan penyelesaian dua negara perlu direalisasikan tanpa sebarang pra-syarat berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Palestin
Rakyat Malaysia sentiasa berdiri teguh menyokong perjuangan umat Islam di Palestin membebaskan diri daripada cengkaman rejim Israel.

“Kedaulatan dan keutuhan wilayah Palestin, termasuk hak pulang jutaan pelarian Palestin yang dijamin di bawah undang-undang antarabangsa, mesti dijadikan sebahagian daripada penyelesaian muktamad,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, Malaysia menggesa kelemahan serta kekurangan dalam Deklarasi New York ditangani sepenuhnya melalui langkah konkrit dan pelan tindakan jelas yang dapat menjamin kebebasan, keselamatan serta hak kenegaraan rakyat Palestin.

“Deklarasi ini perlu membuka jalan untuk menghentikan segera peperangan dan kekejaman rejim Zionis ke atas Gaza, menamatkan bencana kemanusiaan di Wilayah Palestin, serta mencapai keamanan berkekalan di Asia Barat,” tegas Wisma Putra.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button