LUAR NEGARA

86 peratus sarjana sokong resolusi takrifkan tindakan Israel di Gaza sebagai genosid

THE HAGUE – Satu pertubuhan akademik terbesar di dunia dalam bidang kajian genosid telah meluluskan satu resolusi bahawa Israel sedang melakukan genosid di Tebing Gaza berdasarkan kriteria undang-undang.

Sebanyak 86 peratus daripada ahli yang mengundi dalam kalangan 500 anggota International Association of Genocide Scholars (IAGS) menyokong resolusi yang mengisytiharkan bahawa “dasar dan tindakan Israel di Gaza” telah memenuhi definisi undang-undang yang digariskan dalam Artikel II Konvensyen PBB 1948 mengenai genosid.

Menurut Reuters, resolusi tiga muka surat itu menyeru Israel untuk “segera menghentikan semua tindakan yang membentuk genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan terhadap rakyat Palestin di Gaza, termasuk serangan serta pembunuhan sengaja orang awam termasuk kanak-kanak; kebuluran; penafian bantuan kemanusiaan, air, bahan api dan keperluan asas lain untuk kelangsungan hidup penduduk; keganasan seksual dan reproduktif; serta pengusiran paksa penduduk.”

Resolusi itu turut menyatakan bahawa serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan peperangan tersebut turut merupakan jenayah antarabangsa.

“Ini adalah kenyataan tegas daripada pakar dalam bidang kajian genosid bahawa apa yang sedang berlaku di Gaza adalah genosid,” kata presiden persatuan itu, Melanie O’Brien, profesor undang-undang antarabangsa di Universiti Australia Barat yang juga pakar dalam kajian genosid.

Kementerian Luar Israel bagaimanapun menyelar kenyataan itu sebagai memalukan dan “berasaskan kempen pembohongan Hamas”.

Israel sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa tindakannya di Gaza merupakan genosid dan menegaskan ia dilakukan sebagai langkah mempertahankan diri.

Negara itu kini sedang berdepan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague yang menuduhnya melakukan genosid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button