Penyertaan di WSIS+20 perkukuh peranan Malaysia dalam komunikasi serantau
GENEVA – Malaysia terus menunjukkan komitmen dalam memperkukuh ekosistem teknologi komunikasi serantau apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengetuai delegasi negara ke World Summit on the Information Society+20 High-Level Event (WSIS+20) yang berlangsung di Geneva, Switzerland dari 7 hingga 11 Julai.
Penyertaan negara dalam forum berprestij anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam membina ekosistem komunikasi digital yang inklusif, mampan dan seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan hari ini berkata, penglibatan Malaysia dalam WSIS+20 membuka ruang kepada manfaat strategik termasuk pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan negara dalam memperluas capaian internet luar bandar, keterangkuman teknologi komunikasi serta usaha memperkasakan literasi ICT rakyat.
“Malaysia mengambil peluang untuk menonjolkan inisiatif utama seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang menjadi antara pemangkin utama kepada agenda transformasi komunikasi digital negara,” menurut kenyataan itu.
WSIS merupakan platform global yang menghimpunkan pemimpin dunia, pakar industri dan penggubal dasar dalam usaha menjadikan teknologi maklumat sebagai teras kepada pembangunan mampan.
Ia turut mengetengahkan Garis Tindakan WSIS, iaitu kerangka tumpuan merangkumi 11 bidang berkaitan ICT seperti pembangunan infrastruktur, kapasiti, keselamatan siber dan persekitaran sokongan.
Acara tersebut turut menjadi pentas bagi Anugerah WSIS yang mengiktiraf projek teknologi berimpak tinggi di seluruh dunia. Sejak diperkenalkan pada 2012, sebanyak 234 pemenang dan 648 juara telah diraikan.
Sepanjang WSIS+20, Fahmi dijadual mengadakan lebih 10 mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, Arab Saudi, Poland, Somalia, Greece, Rusia dan Algeria.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan khas bersama Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Doreen Bogdan-Martin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







