Projek NADI Malaysia menang anugerah tertinggi WSIS 2025
GENEVA – Projek Inklusif Digital NADI Malaysia dinobatkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025, atas usaha memperkasa komuniti terpencil menerusi pembangunan kemahiran digital dan kesalinghubungan.
Pengiktirafan antarabangsa tersebut disampaikan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Geneva, Switzerland, hari ini.
Menurut Kementerian Komunikasi, projek NADI Pulau Banggi memenangi kategori ‘C4: Capacity Building’ atas kejayaannya menyediakan literasi digital, latihan kemahiran serta peluang ekonomi kepada komuniti pulau yang terpinggir, selain diiktiraf sebagai johan keseluruhan bagi kategori tersebut.
“Projek Inklusif Digital NADI mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI tiada siapa yang terpinggir dalam era digital.
“Kejayaan itu adalah milik komuniti yang menerima kemahiran digital demi masa depan yang lebih baik serta rakyat Malaysia yang mendukung visi negara inklusif dan terhubung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pulau Banggi yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Kudat hanya boleh diakses menggunakan feri atau bot laju dan dihuni lebih 20,000 penduduk yang bergantung kepada sektor perikanan, kelapa sawit dan getah.
Menurut kenyataan itu, kedudukan pulau yang terpencil telah menghadkan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan pertumbuhan ekonomi sejak sekian lama.
Namun, melalui pelaksanaan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), inisiatif NADI berjaya mewujudkan hab digital komuniti yang menyediakan sambungan internet berkelajuan tinggi serta latihan ICT kepada golongan nelayan, petani, pelajar dan usahawan kecil.
“Warga belia kini memperoleh kemahiran ICT, wanita tempatan memulakan perniagaan mikro dalam talian dan usahawan meluaskan pasaran mereka,” menurut kenyataan itu lagi.
Susulan kejayaan di Pulau Banggi, inisiatif tersebut kini diperluaskan ke kawasan lain termasuk Pulau Mandi Darah, dengan sasaran liputan seluruh negara menjelang 2035 menerusi modul latihan berskala, hab komuniti dan pembiayaan jangka panjang khususnya di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Projek Stingray II Pulau Ketam turut dinobatkan sebagai johan bagi kategori ‘C2: Information and Communication Infrastructure’ hasil kejayaan menyediakan sambungan gentian optik dasar laut sepanjang 46.4 kilometer antara Kapar dan Pulau Ketam.
“Projek itu membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, keluarga mengakses perkhidmatan teleperubatan dan perniagaan kecil meningkatkan kehadiran digital mereka,” kata kementerian itu.
Pengiktirafan WSIS itu dikendalikan oleh International Telecommunication Union (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengiktiraf projek ICT yang menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Pengiktirafan itu mengesahkan kedudukan NADI sebagai antara program digital paling inklusif dan berkesan di dunia,” menurut kementerian itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








