Polis rekod keterangan isteri, adik pempengaruh hilang
MUAR – Polis sudah merekodkan keterangan isteri serta adik lelaki pempengaruh Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin yang sebelum ini dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, keterangan kedua-dua individu itu diambil pada hari sama kereta dipandu lelaki itu ditemukan dalam Sungai Lui, Bukit Kepong.
“Malam tadi (semalam), kita sudah rekod keterangan termasuk adik lelakinya yang menjadi individu terakhir bertemu dengan orang hilang di kawasan Bukit Kepong pada petang kehilangannya.
“Buat masa ini, segala bentuk siasatan masih berjalan,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, Unit Anjing Pengesan (K9) turut dihantar ke lokasi bagi membantu mencari dan menyelamat namun setakat ini tiada sebarang petunjuk ditemukan.
Jelas beliau, operasi hari ini bermula pagi tadi membabit 60 pasukan keselamatan keseluruhan termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di sekitar lokasi.
“Pencarian menggunakan bot juga dilakukan sehingga ke hulu sungai. Selain itu polis juga melakukan pencarian berjalan sejauh dua kilometer di sekitar kampung, anak sungai serta jeti berdekatan.
“Setakat pukul 5 petang tadi, orang hilang masih belum ditemui. Jadi, polis berharap semua pihak bersabar dan kita akan terus melakukan pencarian dengan kekuatan yang ada.
Raiz Mukhliz juga memaklumkan, pasukan penyelamat hanya menemui selipar dan topi dipercayai milik lelaki terbabit dalam kereta dipandunya.
“Telefon bimbitnya belum ditemukan dan semakan mendapati, talian telefonnya sudah tidak aktif sejak hari dilaporkan hilang. Buat masa ini, kita mengklasifikasikan kes orang hilang.
“Pasukan bomba dan penyelamat menerbangkan dron petang ini untuk melebarkan radius pencarian agar lebih tepat dan tuntas melalui udara. Jadi kita berharap ada sebarang petunjuk,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






