BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Akta Keselamatan Dalam Talian tunggu perkenan, langkah tegas bendung penipuan siber – Fahmi Fadzil

Apabila dikuatkuasakan, Unit Pemantauan Keselamatan Digital (ONSAR) akan memainkan peranan penting dalam memastikan platform media sosial turut bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan

CYBERJAYA – Malaysia bakal melangkah setapak lagi dalam usaha memerangi jenayah siber apabila Akta Keselamatan Dalam Talian akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, draf akta tersebut kini sedang menunggu perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum boleh dilaksanakan secara rasmi.

“Apabila dikuatkuasakan, Unit Pemantauan Keselamatan Digital (ONSAR) akan memainkan peranan penting dalam memastikan platform media sosial turut bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025, Girls in ICT (GICT) serta Ulang Tahun ke-160 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Cyberview Resort & Spa, di sini hari ini.

Fahmi Fadzil
Fahmi menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025.

Program itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menghimpunkan pelbagai pihak.

Ia termasuklah golongan belia sebagai platform untuk meneroka peranan transformasi digital dalam memacu keterangkuman, kesaksamaan gender dan pembangunan lestari selaras dengan tema WTISD 2025, ‘Kesaksamaan Gender dalam Transformasi Digital’.

Mengulas lanjut, Fahmi mendedahkan antara cabaran utama ketika ini ialah kelewatan tindakan daripada syarikat media sosial seperti Facebook terhadap aduan kandungan penipuan.

“Ramai pengguna mengadu mengenai iklan judi dan pelaburan palsu di Facebook. Malangnya, tindakan mereka sangat perlahan, mungkin kerana iklan tersebut berbayar dan memberikan keuntungan kepada platform tersebut,” ujarnya.

Beliau turut memberi contoh penyalahgunaan imej tokoh awam termasuk Prof. Dr. Muhaya iaitu pakar mata terkenal, apabila wajahnya digunakan tanpa izin untuk menjual produk kesihatan palsu hingga menyebabkan beliau diberi surat amaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, tambahnya, ancaman siber kini turut mengambil bentuk yang lebih licik, termasuk penggunaan fail perisian berniat jahat seperti ‘jemputankadkawin.apk’ serta pautan palsu bertajuk ‘Bantuan Kerajaan’ yang mencuri akses kepada akaun WhatsApp dan media sosial pengguna.

Fahmi melawat salah satu booth yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

“Bagi mengekang penyebaran ancaman ini, kementerian kini memperhebatkan Kempen Internet Selamat, bukan sahaja di peringkat sekolah, malah kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Kita mahu rakyat Malaysia lebih peka, berhemah dan sentiasa waspada ketika berada di alam siber,” katanya.

Menurut beliau lagi, kerajaan MADANI komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan yang lebih adil, inklusif dan saling terhubung di samping menerajui kemajuan komuniti digital di peringkat global.

BACA : MCMC promosi perkhidmatan pintar NADI di Tawau 

BACA : Program MCMC Microsoft AI TEACH bangunkan kepakaran digital di Sarawak

“Pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam meningkatkan capaian internet di seluruh negara. Ini termasuklah melalui program JENDELA dan inisiatif seperti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

“Ini adalah beberapa perkara utama yang kita fokuskan terutamanya bagi melibatkan lebih ramai wanita dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” jelas beliau.

Tambah Fahmi, pada tahun 2023 dan 2024, MCMC telah memenangi beberapa anugerah di peringkat World Summit on the Information Society (WSIS) yang membuktikan bahawa usaha kerajaan, khususnya melalui MCMC, dalam menyelesaikan masalah kesalinghubungan digital diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Wakil Kawasan ITU untuk Asia Tenggara dan Negara Anggota Lain di Asia dan Pasifik, Kishore Babu Yerraballa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button