BERITA SEMASA

Program MCMC Microsoft AI TEACH bangunkan kepakaran digital di Sarawak

KUCHING – Usaha memperkasa masyarakat Sarawak dalam bidang teknologi diteruskan dengan pelaksanaan Program MCMC Microsoft AI TEACH, yang membuka lembaran baharu dalam agenda pembangunan kepakaran digital di negeri berkenaan.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), program itu diadakan dengan kerjasama dan sokongan daripada Microsoft Malaysia serta rakan strategik seperti Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Biji-biji Initiative.

Katanya, ia akan memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas kecerdasan buatan (AI), kefahaman mengenai etika penggunaan teknologi dan penerapan kemahiran praktikal sebagai persiapan menghadapi keperluan pasaran kerja yang semakin mencabar dan berasaskan teknologi.

“Program berkenaan adalah sejajar dengan aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030, yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan rakyat melalui pendidikan digital, pembangunan bakat teknologi dan peluasan peluang ekonomi berasaskan digital.

“Ia sekali gus menjadikan Sarawak sebuah negeri berdaya saing di peringkat serantau dengan masyarakat yang bersedia menghadapi era digital secara inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi bergambar bersama peserta yang terlibat dalam Program MCMC Microsoft AI TEACH di Kuching, Sarawak.

Majlis pelancaran Program MCMC Microsoft AI TEACH di Sarawak telah disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.

Berlangsung selama dua hari, program itu dilaksanakan secara fizikal dan hibrid di beberapa lokasi terpilih termasuk CENTEXS sebagai lokasi utama pelaksanaan, di samping enam lokasi SDEC Digital Innovation Hub di seluruh Sarawak termasuk Serian, Sri Aman, Sibu, Kapit, Mukah dan Lawas.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 15 Pusat NADI turut diaktifkan bagi memastikan capaian lebih meluas kepada komuniti luar bandar.

Ujarnya, setakat Disember lalu, seramai 37 peratus daripada keseluruhan peserta yang terlibat dalam inisiatif padanan pekerjaan berjaya memperoleh penempatan pekerjaan melalui kerjasama strategik bersama PERKESO.

“Kejayaan ini direalisasikan

menerusi penggunaan platform MyFutureJobs, yang menyediakan peluang pekerjaan relevan serta bimbingan kerjaya disesuaikan dengan kemahiran dan minat peserta.

“Sejak dilancarkan secara rintis pada Jun 2024, Program MCMC Microsoft AI TEACH telah berjaya melatih lebih 2,000 individu merangkumi pelbagai latar belakang khususnya golongan rentan,” katanya.

Terdahulu, program MCMC Microsoft AITEACH telah dilaksanakan di lapan negeri dan wilayah di seluruh Malaysia, antaranya Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Johor termasuk Labuan.

Pelaksanaan program diperluaskan atas permintaan khas antaranya kolaborasi bersama Jabatan Penjara Malaysia yang melibatkan Pusat Koreksional Puncak Alam, Selangor dan Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin, Negeri Sembilan.

Program ini turut dilaksanakan secara khusus bagi pelajar Program Siswa Sulung di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang di mana pelajar yang terlibat merupakan golongan generasi pertama daripada keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button