BERITA SEMASA

Dari inovasi ke regulasi, IRC 2026 kembali perkasa agenda kawal selia digital

KUALA LUMPUR – Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) IRC 2026 kembali dianjurkan buat kali ketiga sejak 2024 dengan memberi tumpuan kepada usaha membentuk kerangka kawal selia digital yang berdaya tahan, seiring perkembangan teknologi serta cabaran baharu dalam ekosistem digital global.

Persidangan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu akan berlangsung pada 21 dan 22 Julai ini, menghimpunkan pengawal selia, pemimpin industri, penggubal dasar, ahli akademik serta pakar teknologi bagi membincangkan hala tuju regulasi dalam era digital.

Bertemakan “Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust” IRC 2026 akan dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Baca juga : IRC 2026 himpun pakar global bincang AI, keselamatan siber dan masa depan ekosistem digital

Penganjuran IRC 2026 meneruskan kesinambungan platform yang diperkenalkan MCMC sejak 2024 sebagai wadah perbincangan mengenai inovasi teknologi, keselamatan serta pendekatan kawal selia dalam sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M).

Pada penganjuran sulung IRC 2024, persidangan itu mengangkat tema “Menyelaras Inovasi Dengan Keselamatan Untuk Masa Depan Mampan” dengan memberi fokus kepada inovasi, teknologi baharu, rangka kerja kawal selia serta kaedah memastikan perkembangan industri komunikasi dan multimedia kekal selamat.

Pada 2025 pula, IRC meneruskan perbincangan menerusi tema “Leaping into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era” dengan memberi perhatian kepada teknologi termaju, transformasi kawal selia serta cabaran dan peluang dalam era teknologi moden.

Bagi IRC 2026, fokus diperluaskan kepada pembentukan era digital baharu yang menekankan keseimbangan antara inovasi, keselamatan dan kepercayaan pengguna menerusi kerangka kawal selia yang lebih berdaya tahan.

Antara bidang utama yang akan diketengahkan ialah hubungan antara teknologi dan regulasi, media sosial, privasi data serta tadbir urus digital.

Perbincangan turut meliputi cabaran mengimbangi kebebasan bersuara dengan keselamatan negara dan tanggungjawab sosial, selain usaha melindungi pengguna serta data tanpa mengekang inovasi ekonomi digital.

Selain itu, isu kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, teknologi kuantum, robotik, kesejahteraan digital serta pembangunan bakat masa depan turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian.

Antara sesi utama yang dijadualkan ialah “Online Safety by Design” yang dikendalikan Timbalan Pengarah Urusan Pembangunan MCMC, Eneng Faridah Iskandar dan “Sovereign Data, Empowered Citizens” oleh Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

Melalui penganjuran berterusan ini, IRC dijangka terus menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa, selain menyokong aspirasi Malaysia membangunkan ekosistem digital yang selamat, inklusif, berdaya tahan dan mampan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button