BERITA SEMASA

Belia dominasi perundingan nasional CMCF, tuntut perlindungan AI dan kanak-kanak

KUALA LUMPUR – Suara golongan muda muncul sebagai pemacu utama pembentukan persekitaran digital negara apabila lebih 1,800 rakyat Malaysia tampil menyumbang pandangan dalam Perundingan Awam Kebangsaan 2025 bagi semakan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia.

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) memaklumkan, golongan belia mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 908 responden, sekali gus menggambarkan keprihatinan terhadap isu kandungan berbahaya serta tanggungjawab platform digital.

“Semakan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia, dengan isu keselamatan kanak-kanak, kecerdasan buatan (AI) dan bahaya dalam talian menjadi tumpuan utama,” menurut kenyataan itu baru-baru ini.

Terdahulu, perundingan yang berlangsung selama dua bulan bermula 8 September hingga 7 November lalu menerima sebanyak 1,891 penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk orang awam, pemain industri, kumpulan advokasi serta profesional kandungan.

Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood berkata, tahap penyertaan tinggi itu mencerminkan kesedaran awam yang semakin meningkat terhadap kepentingan membentuk landskap kandungan digital yang lebih selamat, beretika dan bertanggungjawab.

“Perundingan awam ini menguji setiap peruntukan dalam Kod Kandungan. Maklum balas yang diterima menunjukkan rakyat Malaysia semakin peka terhadap cara ruang kandungan digital dibentuk dan dikawal,” katanya.

Laporan perundingan itu turut mengenal pasti beberapa keutamaan utama untuk dimasukkan dalam semakan Kod Kandungan baharu.

“Antaranya keperluan perlindungan lebih jelas terhadap penggunaan AI dan teknologi baharu, termasuk pelabelan kandungan, kebertanggungjawaban individu serta kewajipan realistik kepada platform,” katanya.

Selain itu, aspek perlindungan kanak-kanak menjadi antara fokus utama apabila orang ramai menuntut langkah lebih tegas bagi mencegah dan menangani Bahan Penderaan Seksual Kanak-kanak (CSAM).

Sementara itu, Pengerusi CMCF, Datuk Rafiq Razali berkata, maklum balas kukuh yang diterima membuktikan rakyat Malaysia amat mengambil berat tentang integriti ruang kandungan digital yang mereka gunakan setiap hari.

“Jelas bahawa masa depan tadbir urus kandungan bukan hanya ditentukan oleh pembuat dasar dan industri, tetapi juga oleh komuniti yang hidup dan berinteraksi dalam ruang digital,” katanya.

Beliau menambah, semakan Kod Kandungan itu akan menghasilkan kerangka yang lebih inklusif dan futuristik, seimbang antara kebebasan bersuara dengan keperluan akauntabiliti serta rasa hormat.

Dapatan perundingan awam itu kini menjadi asas kepada proses penggubalan akhir Kod Kandungan yang disemak semula, dengan peruntukan baharu dijangka memperkukuh perlindungan pengguna serta membina ekosistem dalam talian yang lebih selamat dan berakauntabiliti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button