AUTOMOTIF & TEKNOLOGI

Selangor perkenal dasar LED pacu pembangunan industri digital dan semikonduktor

KUALA LUMPUR – Selangor memperkenalkan dasar baharu Local Economy Development (LED) bagi mengukuhkan sektor data raya, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dasar berkenaan menetapkan 30 peratus kandungan tempatan bagi semua pelaburan baharu dalam sektor pusat data dengan tempoh penyesuaian selama tiga tahun bagi pelabur mematuhi sasaran tersebut.

“Dasar ini memberi tumpuan kepada komponen utama operasi pusat data termasuk pelayan, memori, penyimpanan, rangkaian dan sistem tenaga cekap yang kritikal terhadap kelestarian dan prestasi industri,” katanya ketika merasmikan Selangor Smart City and Digital Economy Convention (SDEC) 2025 di sini, hari ini.

Menurut beliau, LED dibangunkan secara inklusif dengan kerjasama firma perunding antarabangsa, PwC, melalui siri bengkel dan perbincangan kumpulan fokus bagi memastikan setiap pandangan pemain industri diambil kira.

“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara berperingkat, fleksibel serta berpandukan rundingan berterusan bersama industri,” katanya lagi.

Amirudin berkata, LED turut diselaraskan dengan agenda nasional di bawah Kerajaan MADANI termasuk National Semiconductor Strategy (NSS), New Industrial Master Plan (NIMP) dan National Energy Transition Roadmap (NETR).

Beliau berkata, dasar LED digerakkan berasaskan tiga matlamat utama iaitu membina rantaian bekalan berdaya tahan menggunakan perkhidmatan dan tenaga tempatan, melahirkan bakat tempatan bertaraf dunia serta memupuk kerjasama antara pengendali global dengan syarikat tempatan.

“Selangor bukan negeri yang kaya dengan sumber semula jadi, namun kekuatan utama kita adalah modal insan yang mampu bersaing dengan negara-negara lain di rantau ini,” katanya lagi.

Pada majlis sama, Amirudin turut mengumumkan pelancaran IC Design Park 2 di Cyberjaya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bulan depan.

Kemudahan berkenaan turut akan menjadi tapak kepada Advanced Semiconductor College of Malaysia (ASEM) yang dibangunkan melalui kerjasama antara Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC) dan Indian Institute of Technology Madras (IIT Madras).

Selain itu, Selangor menyasarkan untuk melahirkan 15,000 jurutera semikonduktor dalam beberapa tahun akan datang, merangkumi 25 peratus daripada sasaran nasional sebanyak 60,000 jurutera di bawah strategi semikonduktor negara.

Bagi mempercepatkan pertumbuhan pelaburan, beliau turut mengumumkan pelaksanaan inisiatif Speed Selangor yang akan memudahkan proses kelulusan, mengurangkan kos serta memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai penyumbang utama ekonomi negara dengan 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Nilai ekonomi Selangor tahun lalu mencecah RM432.1 bilion dan saya yakin kita mampu membina ekonomi pertama negara yang mencecah RM500 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya lagi.

Amirudin turut berkata, kemajuan tidak hanya diukur melalui kecepatan pembangunan, tetapi sejauh mana hasilnya dinikmati rakyat.

“Matlamat kita bukan sekadar menghasilkan teknologi, tetapi memastikan rakyat mampu menikmati manfaatnya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button