BERITA SEMASADALAM NEGERI

Hasil Selangor lepasi sasaran, kebajikan rakyat diperkasa melalui MBI – MB

SHAH ALAM – Hasil Negeri Selangor bagi tahun ini berjaya mengatasi pencapaian tahun lalu, iaitu RM2.86 bilion serta jauh mendahului sasaran awal RM2.3 bilion, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut Amirudin, pencapaian hasil itu sekali gus memberi ruang kepada kerajaan negeri memperkasa pelaksanaan program kebajikan rakyat secara lebih menyeluruh, tersusun dan bersasar.

Beliau berkata, agenda kebajikan negeri tidak hanya bergantung kepada jabatan dan agensi semata-mata, sebaliknya diperkukuh melalui peranan yayasan sebagai penghubung antara kerajaan, syarikat dan masyarakat.

“Penubuhan Yayasan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan pelbagai yayasan lain di negeri itu lahir daripada prinsip kebertanggungjawaban serta keperluan memastikan setiap bantuan dan inisiatif sampai kepada rakyat dengan lebih cepat, berfokus dan berkesan.

“Kita tidak menafikan peranan jabatan dan agensi, namun wujud jurang tertentu yang memerlukan satu mekanisme lebih anjal. Di sinilah peranan yayasan untuk mengisi ruang tersebut, termasuk membudayakan penglibatan awam dan masyarakat dalam usaha kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Yayasan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), di sini, malam tadi.

Amirudin menjelaskan, Selangor melaksanakan pelbagai program kebajikan berterusan seperti Back to School, insentif muassasah haji, sumbangan korban, bantuan bencana serta inisiatif pendidikan dan keusahawanan yang diselaraskan melalui yayasan bagi memastikan ketelusan dan fokus bantuan.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa penyelarasan yayasan-yayasan di Selangor akan memperkemaskan tadbir urus, mengelakkan ketirisan serta memastikan sumbangan daripada dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) anak syarikat kerajaan negeri dan pihak luar disalurkan secara berimpak tinggi.

“Pendekatan ini selari dengan prinsip No Person Left Behind. Tiada siapa yang mahu kita tinggalkan dalam arus pembangunan negeri,” ujarnya.

Mengulas keberkesanan yayasan, Amirudin berkata, program pembangunan kapasiti seperti Platform Selangor (PLATS) dan Tuisyen Rakyat bukan sekadar menyelesaikan masalah jangka pendek, malah meningkatkan keupayaan penjaja, peniaga kecil serta rakyat berpendapatan rendah untuk berdikari.

“Daripada ratusan peserta pada peringkat awal, PLATS kini memberi manfaat kepada hampir 100,000 penjaja dan peniaga kecil di Selangor,” katanya.

Dari sudut ekonomi, Amirudin memaklumkan Selangor kekal sebagai antara tiga negeri teratas dari segi pendapatan dan gaji purata rakyat, malah muncul negeri terbaik di luar Wilayah Persekutuan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pemacu utama ekonomi negara.

Beliau menegaskan, kejayaan hasil dan ekonomi negeri itu akan terus diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat melalui penggandaan inisiatif kebajikan, termasuk pemerkasaan yayasan berkaitan lain agar bantuan sampai tepat pada masa, kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button