Kementerian Komunikasi komited lindungi karya digital tempatan
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menyatakan komitmen penuh dalam perlindungan hak cipta serta ketulenan karya tempatan yang dimuat naik ke platform dalam talian, kata Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, inisiatif itu akan direalisasikan bagi memastikan hasil kreativiti pengkarya negara terus terpelihara daripada pelbagai ancaman penyalahgunaan.
“Kementerian Komunikasi menyambut baik saranan YAB Perdana Menteri berhubung penggubalan perundangan bagi melindungi hak cipta dan ketulenan karya tempatan yang dimuat naik ke platform digital,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di Facebooknya selepas menyaksikan Majlis Peluncuran ‘Buku Melukis Dengan Hati: Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar’ yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pustaka Raja Tun Uda di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Fahmi berkata, kementeriannya bertekad untuk memperkukuh ekosistem dalam talian negara melalui penyediaan persekitaran yang lebih selamat dan adil kepada para pengkarya tempatan untuk terus berkarya, berkongsi dan berkembang.
Fahmi turut merakamkan ucapan tahniah kepada Zunar atas pencapaian cemerlang sepanjang lima dekad dalam dunia seni kartun tanah air yang bukan sahaja bersifat kritis, tetapi juga memberi impak besar dalam landskap pemikiran rakyat.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







