Johnny Lim ‘anak Cina’ pertama naik pangkat Leftenan Jeneral ATM bersara wajib
KUALA LUMPUR: Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng yang melakar sejarah apabila menjadi anak berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersara hari ini.
Berita itu dikongsi oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya selepas menerima kunjungan hormat sempena persaraan Komandan MKN itu di Wisma Pertahanan, hari ini.
“Bagi pihak kerajaan dan Kementerian Pertahanan, saya menzahirkan penghargaan kepada beliau atas segala khidmat bakti dan jasa kepada negara dan perkhidmatan ketenteraan.
“Saya berharap beliau dapat terus memberikan sumbangan kepada tanah air dalam kapasiti tersendiri. Terima kasih Panglima dan selamat menempuh alam persaraan,” katanya hari ini.
Johny pada bulan Jun yang lalu telah melakar sejarah sebagai pegawai berbangsa Cina pertama yang memakai pangkat Leftenan Jeneral dalam ATM.

Johnny yang berasal dari Melaka mengikuti latihan Pegawai Kadet melalui Tauliah Jangka Tetap Ke-25 (TJT 25) di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada 1986, seterusnya ditauliahkan ke Rejimen Renjer Diraja (RRD).
Beliau graduan Kolej Komando dan Kakitangan Tentera Australia, selain turut memiliki Ijazah Sarjana daripada Universiti Canberra, Australia serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau turut dikenali dengan kemahiran penguasaan bahasa Korea berdasarkan pengalaman mengikuti pengajian ketenteraan di Korea Selatan serta Sepanyol.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Jurulatih di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Panglima 31 Briged Infantri, Inspektor Jeneral Tentera Darat dan Ketua Staf Markas Pemerintahan Medan Barat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








