BERITA SEMASA

Penyatuan Melayu penting kembalikan kekuatan politik – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Penyatuan Melayu perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengembalikan kekuatan dan kedudukan politik orang Melayu, selain memastikan bangsa itu terus dihormati sebagai kuasa politik utama dalam negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perpecahan Melayu hanya akan melemahkan kedudukan politik bangsa berkenaan serta menjejaskan kepentingan bangsa dan tanah air dalam jangka panjang.

Beliau berkata, penyatuan yang diperjuangkan UMNO bukan sekadar slogan atau jenama politik, sebaliknya merupakan iltizam untuk mengukuhkan kedudukan Melayu yang merentas masa, usia dan ideologi politik.

“Penyatuan ini dibuat dengan kesediaan memadam kesilapan silam serta kesedaran bahawa menyatukan bangsa adalah tuntutan agama dan Perlembagaan.

“Jika Melayu berpecah, semangat sebenar Perlembagaan juga akan terjejas,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

Menurutnya, lambakan parti politik Melayu ketika ini tidak semestinya mengukuhkan kuasa politik orang Melayu, malah perpecahan kepada pelbagai parti dilihat semakin melemahkan kedudukan tersebut.

Katanya, penyatuan Melayu juga penting bagi memastikan kuasa politik Melayu terus mendapat kepercayaan dan dihormati rakan politik di Sabah dan Sarawak.

“Jika kita tidak boleh mengurus Melayu dengan baik, bagaimana kita mahu meyakinkan rakan kita di Sabah dan Sarawak untuk terus yakin dengan kita bagi menerajui pemerintahan Malaysia?” soalnya.

Beliau berkata, perpecahan politik Melayu boleh menghakis keyakinan Sabah dan Sarawak terhadap kemampuan Semenanjung untuk terus menjadi pengemudi pembangunan negara.

Dalam pada itu, beliau memuji Presiden UMNO kerana memperkenalkan tiga mekanisme bagi menjayakan agenda penyatuan Melayu iaitu Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Tafahum Siyasi.

Katanya, Rumah Bangsa boleh memperkukuh UMNO sebagai parti politik Melayu yang stabil dan bersatu, manakala Musyawarah Nasional membolehkan isu berkepentingan Melayu diperjuangkan secara bersama.

“Tafahum Siyasi pula membolehkan orang Melayu bersatu tanpa perlu meleburkan identiti dan ideologi politik masing-masing bagi memastikan kepentingan Melayu terus diperjuangkan dan dipelihara,” katanya.

Beliau turut mengambil contoh pendekatan masyarakat Cina yang menurutnya mampu memperjuangkan kepentingan bersama walaupun berada dalam parti politik berbeza.

Katanya, penyatuan Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai gerakan rasis atau ancaman kepada kaum lain.

“Penyatuan orang Melayu tidak pernah dan tidak akan sesekali dibina dengan menjatuhkan orang lain.

“Ia akan diusahakan dengan cara yang menimbulkan rasa hormat, kebersamaan dan rasa selamat, bukan dengan cara ekstrem atau menakutkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan UMNO wajar menjadi teras kepada agenda penyatuan Melayu berdasarkan sejarah, sifat, watak dan keunikan parti itu.

Menurutnya, UMNO bukan sahaja memperjuangkan kepentingan Melayu, malah sejak penubuhannya mengiktiraf serta menerima masyarakat bukan Melayu tanpa memaksa mereka meninggalkan identiti dan budaya masing-masing.

Beliau berkata UMNO juga berpegang kepada prinsip keadilan dan keterangkuman dengan mengambil kira keperluan serta cabaran berbeza setiap kaum.

“Pendekatan kita bukan sama rata dan bukan pukul rata. Kita bertindak secara spesifik, khusus dan menjurus kepada keperluan serta cabaran semua kaum,” katanya.

Beliau berkata UMNO turut menjadikan kemajuan, pembangunan dan pemodenan sebagai agenda utama dalam mengangkat taraf kehidupan rakyat, khususnya orang Melayu.

“Perjuangan untuk penyatuan Melayu yang dibawa UMNO bukanlah sesuatu yang menakutkan, tetapi sesuatu yang akan membawa kemajuan.

“Sebab itulah UMNO layak memperjuangkan soal penyatuan Melayu dan bukannya parti-parti Melayu yang lain,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button