BERITA SEMASA

Anggota MALBATT di Lubnan selamat, tiada keperluan evakuasi

KUALA LUMPUR – Kesemua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan penugasan di selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, situasi keselamatan di kawasan tanggungjawab Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) serta MALBATT 850-13 di selatan Lubnan menunjukkan peningkatan aktiviti ketenteraan antara Israel Defense Forces (IDF) dan Hezbollah.

“Tentera Israel dilaporkan memasuki beberapa kawasan di Lubnan, manakala beberapa serangan turut direkodkan berhampiran sektor tanggungjawab MALBATT.

“Sehubungan itu, langkah perlindungan pasukan (force protection) telah dipertingkat selaras dengan tahap waspada semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

khaled nordin
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada masa ini katanya, tiada keperluan untuk melaksanakan evakuasi kerana keadaan masih terkawal.

“MALBATT 850-13 kekal pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan bersedia mengaktifkan pelan kontigensi termasuk pemindahan kecemasan sekiranya diperlukan.

“Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama terus memantau perkembangan situasi secara rapat dengan kerjasama UNIFIL serta agensi berkaitan.

“Keselamatan setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button