POLITIK

UMNO lancar tabung bantu Najib bayar denda RM50 juta

KUALA LUMPUR – UMNO melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kutipan itu terbuka kepada barisan kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sumbangan secara sukarela.

Menurutnya, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara telus dan teratur selain mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“UMNO juga dengan ini mengambil inisiatif untuk melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu meringankan beban Datuk Seri Najib dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim susulan keputusan menerusi mesyuarat Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Katanya, perkembangan itu amat bermakna buat bekas perdana menteri itu dan keluarganya serta seluruh keluarga UMNO yang selama ini menaruh harapan yang cukup tinggi.

“UMNO menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan baginda,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyeru ahli UMNO menyambut perkembangan itu dengan rasa syukur, selain menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button