Bekas Presiden INTERPOL dilantik terajui Alif Holding
ABU DHABI – Robo.ai Inc. hari in mengumumkan pelantikan bekas Presiden INTERPOL, Dr. Ahmed Naser Al-Raisi sebagai Pengerusi Alif Holding, berkuat kuasa serta-merta bagi memperkukuh tadbir urus korporat serta pengawasan keselamatan dan pematuhan syarikat berkenaan.
Menurut Robo.ai dalam satu kenyataan, sebagai Pengerusi Alif Holding, Ahmed Naser akan mempengerusikan lembaga pengarah syarikat dengan memberi tumpuan kepada strategi jangka panjang, rangka kerja tadbir urus, serta piawaian pengurusan risiko dan pematuhan, khususnya bagi projek kerajaan dan infrastruktur kritikal.
BACA JUGA:
Robo.ai tubuh usahasama bangunkan hab AI di UAE
Bekas Presiden INTERPOL dilantik Pengerusi Neurovia AI
Alif Holding merupakan syarikat usahasama yang dibangunkan Robo.ai bersama Eleven International Holdings dan distrukturkan di bawah slogan “Building Intelligent Industries” menerusi dua platform utama, iaitu perisian pintar dan peralatan pintar, dengan fokus membangunkan, mengintegrasikan serta menghasilkan sistem kecerdasan buatan (AI) di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Selain itu, syarikat tersebut turut menekankan pendekatan neutraliti teknologi, seni bina terbuka dan pembuatan “Made in UAE”, selaras dengan Strategi AI Nasional UAE 2031, selain merancang menjadikan UAE sebagai hab operasi untuk pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan antarabangsa.
Ahmed Naser membawa pengalaman lebih 40 tahun dalam transformasi digital sektor awam dan tadbir urus keselamatan digital global.
Beliau pernah menerajui INTERPOL dari 2021 hingga 2025 sebagai presiden pertama dari Timur Tengah dalam sejarah organisasi itu, selain kini berkhidmat sebagai Pengerusi Neurovia AI, anak syarikat Robo.ai.
Ahmed Naser dalam kenyataan sama berkata, kecerdasan buatan kini semakin menjadi sebahagian daripada infrastruktur kritikal sesebuah negara dan perlu dibangunkan mengikut piawaian yang ditetapkan kerajaan serta pengendali infrastruktur kritikal.
“Hala tuju Alif Holding sejajar dengan agenda nasional UAE 2031 iaitu menjalankan kejuruteraan dan pembuatan di UAE, memberi perkhidmatan kepada UAE dan rantau ini serta menembusi pasaran global.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan lembaga pengarah dan pasukan pengurusan untuk membangunkan sebuah kumpulan yang berteraskan kepercayaan, keselamatan dan pembangunan perindustrian yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















